Wednesday, 1, May, 2024
Utama Negeri Maqis kesan 42 ekor lembu penyakit LSD di Bukit Kayu Hitam

Maqis kesan 42 ekor lembu penyakit LSD di Bukit Kayu Hitam

oleh Ammar Haziq
Seekor lembu positif LSD dikesan di Pusat Kuarantin di Bukit Kayu Hitam.

BUKIT KAYU HITAM – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah mengesan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) pada ternakan lembu hidup yang diimport dari negara Thailand. Penyakit LSD adalah sejenis penyakit berjangkit yang menjangkiti lembu, kerbau dan haiwan ruminan liar yang tertentu.

Pada 26 April 2021, sejumlah 1,434 ekor lembu telah diimport dari negara Thailand dan kesemua lembu tersebut perlu dikuarantinkan terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk ke dalam negara.

Semasa tempoh kuarantin, beberapa sampel telah diambil daripada lembu-lembu berkenaan dan diuji di Makmal Kesihatan Awam Veterinar (MKAV) serta hasil ujian makmal serta tanda-tanda klinikal mendapati, 42 ekor lembu telah didapati positif untuk pengesanan penyakit LSD.

Setakat ini terdapat 2 premis kuarantin yang dipantau oleh pihak MAQIS di negeri Kedah dan Kelantan yang sedang menempatkan ternakan lembu yang diimport dari negara Thailand menunjukkan tanda-tanda klinikal penyakit LSD.

Arahan terkini pihak berkuasa Veterinar iaitu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah meminta pihak MAQIS untuk memanjangkan tempoh kuarantin daripada 14 hari kepada 28 hari untuk memantau lebih rapi ternakan-ternakan yang diimport dari Thailand.

Seekor lembu positif LSD dikesan di Pusat Kuarantin di Bukit Kayu Hitam.

Prosedur ujian ini dilakukan bagi mencegah penularan wabak penyakit dan dikhuatiri jika tidak dikawal boleh menyebabkan industri ternakan ruminan negara terjejas. Kesemua lembu-lembu yang positif penyakit LSD ini telah ditahan dan dikuarantinkan dengan pemantauan yang rapi. 

Untuk makluman, punca penyakit LSD adalah disebabkan virus Poxviridae dan disebarkan melalui gigitan serangga seperti nyamuk dan lalat. 

Penyakit LSD mempengaruhi kesihatan haiwan dan boleh menjejaskan ternakan lembu dalam negara dan penyakit ini telah menular di Asia sejak tahun 2019. Antara negara yang terkesan dengan LSD adalah Bangladesh, India, China dan yang terbaru ditemui di Thailand.

Pihak MAQIS tidak akan leka serta memandang mudah terhadap perkara ini dan akan terus komited dalam memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih, mikroorganisma dan makanan yang diimport bebas daripada ancaman perosak, penyakit, bahan cemar dan tidak menjejaskan sektor pertanian negara serta mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan,ikan dan keselamatan makanan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com