Kenyataan dikeluarkan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Iboi (PKAI), Dr. Mohd. Syuhaimi Zakaria berhubung kejadian banjir lumpur di Kampung Iboi petang tadi.
Berikut merupakan kenyataan beliau:-
Sekitar jam 530 petang, hujan lebat telah turun dengan lebat di Kawasan lembangan Sungai Kupang dan di sekitar kawasan puncak Gunung Inas.
Hanya selepas 30 minit hujan,
`kepala air’ mula turun dengan lajunya dan jambatan Bailey di Kampung Iboi telah ditenggelami air.
Jambatan Bailey yang hanya tinggi lebih 2 kaki sahaja dari permukaan air selepas tragedi banjir puing yang lalu telah menjadi `empangan sementara’.
Aliran air yang kuat berserta puing-puing yang turun bersama telah mengakibatkan tiang-tiang elektrik dan jambatan menjadi senget menanti dihanyutkan air sahaja.
Selepas 62 hari tragedi banjir besar dan 6 hari lawatan Perdana Menteri ke kawasan bencana, bencana banjir kembali berulang.
Rumah-rumah mangsa banjir terdahulu kembali dinaiki air berserta selut dan puing-puing kayu. Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kembali beroperasi.
Trauma dan perit penduduk kampung Iboi dan sepanjang Sungai Kupang yang baru sahaja surut sedikit kembali semula ke paras tertinggi.
Segala bantuan dan peralatan yang baru diterima kembali musnah.
Pagar-pagar tanaman musnah, binatang ternakan mati kelemasan, peralatan rosak ditenggelami air.
Persoalannya, sehingga bila kami perlu menanggung seksa dan derita begini?
Kami mendesak dan merayu dengan sesungguh hati agar pihak berkuasa negeri dan persekutuan mengambil tindakan yang lebih pantas.
Sudah 3 kali banjir ini berlaku, masih tiada apa-apa lagi tindakan yang jelas diambil untuk mengurangkan risiko bencana berjalan.
Hanya pasir-pasir yang bertimbun diatas tanah sahaja dijarah keluar tetapi pasir yang termendap di dasar masih dibiarkan.
Tinggalan puing-puing masih dibersihkan dan kembali masuk ke rumah-rumah kami.
Masing-masing hanya sibuk menyalahkan yang lain, penduduk dibiarkan tanpa pembelaan.
Cadangan Tindakan Susulan bagi jangka masa pendek hasil Laporan Kajian Bencana Geologi Banjir Puing 2022 pada muka surat 55 dan 56 perlulah disegerakan tindakannya.
Usahlah hanya memaksa kami penduduk dan mangsa banjir untuk menerima hasil kajian tersebut tetapi pihak kerajaan tidak melaksanakan tindakan cadangan yang diutarakan oleh pakar-pakar yang terlibat.
Segala tandak dan kolam takungan air di puncak gunung perlu segera dimusnahkan.
Segarakanlah Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat punca
bencana ini dan membawa yang bersalah ke muka pengadilan.
Berapakan bacaan tolok hujan automatik di puncak gunung inas? Sekuat manakah siren amaran banjir berbunyi? Sudah berapa kali dialog dan penerangan mengenai banjir puing ini dijalankan kepada penduduk kampung?
Sudah berapa dalam mendapan sungai Kupang ini dikorek dan dibuang?
Semuanya hanya tinggal persoalan dan cadangan. Ingatlah, bencana besar baru-baru ini hanya melibatkan satu aliran sahaja ke sungai Kupang.
Masih terdapat 2 atau 3 aliran lagi
yang masih belum memuntahkan puing-puing dan runtuhan tanah akibat aktiviti pembalakan dan perladangan Durian Musang King ini.
Hidup dan nyawa kami menjadi taruhan setiap kali berlakunya banjir.
Segerakanlah tindakan susulan bagi mengurangkan bencana banjir ini berlaku. Hentikanlah projek ladang Durian Musang King ini dari terus berjalan. Bawalah penjenayah
alam sekitar ini ke muka pengadilan. Jangan asyik menyalahkan kejadian alam dan hujan lebat yang tidak mempu besuara mempertahankan diri mereka.