ALOR SETAR, 8 Sept – Kedah menyasarkan kutipan 25 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Kuala Lumpur yang dijadualkan bermula 16 hingga 24 Sept depan.
Lebih 31 jenis sukan akan dipertandingkan pada edisi ke-20 Sukma yang membabitkan penganjuran 426 acara di beberapa lokasi pilihan termasuk sekitar Lembah Klang, Nilai dan Langkawi.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata sasaran 25 pingat emas itu dijangka diperoleh daripada 31 jenis sukan yang dipertandingkan menerusi kontinjen yang terdiri daripada 520 atlet yang diiringi 103 jurulatih.
“Kita sasarkan 25 pingat emas, pingat yang lain itu terserah tetapi paling penting sasaran pingat emas itu dapat dicapai. Bagi meningkatkan semangat atlet, kerajaan negeri menawarkan ganjaran kepada atlet cemerlang iaitu bagi kategori individu RM3,000 bagi pingat emas; RM2,000 bagi pingat perak dan RM1,000 bagi pingat gangsa.
“Sebagai tambahan, atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada Sukma kali ini juga akan diberikan ganjaran tambahan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Kedah Sempena Sukma di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata kesemua atlet dan barisan kejurulatihan telah lama membuat persiapan bagi setiap acara sukan yang akan dipertandingkan nanti.
“Kita sasarkan pingat emas dalam sukan tempur, sukan raket dan sukan pelayaran. Acara sukan pelayaran akan dibuat di Langkawi, jadi ia akan memberi kelebihan kepada atlet kita yang sudah biasa dengan keadaan di sana.
“Saya harap semua atlet yang terlibat dalam temasya ini dapat menjaga displin selain menjaga nama baik Kedah yang dibawa serta membawa slogan ‘Kedah Fighter’ dimana sahaja,” katanya.