Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Wanita maut, anak parah motosikal langgar Myvi buat pusingan u

Wanita maut, anak parah motosikal langgar Myvi buat pusingan u

oleh Ammar Haziq
Mangsa yang membonceng motosikal meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital manakala anak perempuannya patah paha kiri.

SUNGAI PETANI, 4 OKTOBER – Ibu maut, anak parah.Itu yang berlaku apabila motosikal dinaiki dua beranak melanggar sebuah kereta yang membuat pusingan U secara tiba-tiba dalam kemalangan di Kilometer 68 Jalan Alor Setar-Butterworth, dekat sini semalam.

Dalam kejadian jam 1.55 tengah hari membabitkan tiga kenderaan itu, mangsa yang membonceng motosikal meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital manakala anak perempuannya patah paha kiri.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan mendapati kereta dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai dari arah sama dengan motosikal dinaiki dua beranak terbabit.

“Pemeriksaan mendapati pemandu Perodua Myvi dan motosikal dua beranak berkenaan datang dari sebuah pasaraya menuju ke Tikam Batu manakala sebuah lagi kereta dipandu lelaki berusia 22 tahun datang dari arah bertentangan.

“Pemandu Perodua Myvi terbabit ketika itu berada di laluan motosikal dan setibanya di tempat kejadian dia secara tiba-tba membuat pusingan U,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan mengejut pemandu itu menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian hadapan Perodua Myvi berkenaan.

“Akibatnya, penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kereta yang tidak sempat mengelak mereka.

“Pembonceng motosikal yang berusia 52 tahun dan anaknya yang berusia 24 tahun serta bekerja sebagai operator kilang dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan.

“Bagaimanapun, si ibu disahkan meninggal dunia jam 3.05 petang akibat parah di kepala manakala anaknya masih menerima rawatan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Myvi yang membuat pusingan U di kawasan yang tidak dibenarkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com