Monday, 21, October, 2024
Utama Negeri Anak tampar mak sampai patah gigi disebabkan dadah

Anak tampar mak sampai patah gigi disebabkan dadah

oleh Ammar Haziq
Suspek telah ditahan dan kini ditahan untuk membantu siasatan.

PADANG TERAP, 10 OKT – Angkara dadah, seorang lelaki sanggup menampar ibu sendiri hingga patah gigi dalam kejadian di sebuah kampung, dekat sini Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa yang juga wanita warga emas berusia 68 tahun berkenaan turut ditendang anak lelakinya di badan.

Difahamkan, kejadian berkenaan berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek yang berang selepas dia bertanyakan jumlah anak dimiliki mangsa sebelum wanita terbabit menjawab yang dia mempunyai empat anak.

Ketua Polis Daerah Padang Terap Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, ketika kejadian suspek bersama mangsa berada di dapur sebelum lelaki itu bertanyakan berapa jumlah anak dimilki kepada ibunya itu.

“Sebaik ibunya menjawab soalan berkenaan, suspek terus menampar pipi kiri wanita terbabit membuatkan mangsa terus ke bilik tidur.

“Bagaimanapun, suspek yang masih tidak berpuas hati mengekori ibunya hingga ke bilik tidur dan dia kali ini menampar kedua-dua pipi wanita berkenaan hingga patah gigi bawah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek juga turut menendang badan mangsa sebanyak dua kali dan wanita berkenaan yang bimbang dengan keselamatan dirinya membuat laporan polis sehari selepas kejadian.

“Susulan daripada laporan itu, polis menahan suspek yang berusia 30-an dan dia kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seskyen 325 Kanun Keseksaan.

“Hasil siasatan awal, ibunya mendakwa yang kejadian seumpama itu kerap berlaku terhadapnya sebelum ini dan wanita terbabit memberitahu dia mengesyaki anaknya bertindak demikian kerana berada di bawah pengaruh dadah,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com