Friday, 26, April, 2024
Utama Negeri Pengasas Pondok Madrasah Takwiyatul Islamiah terima anugerah Tokoh Maulidur Rasul Kedah

Pengasas Pondok Madrasah Takwiyatul Islamiah terima anugerah Tokoh Maulidur Rasul Kedah

oleh Ammar Haziq
Abdullah (lima kiri) telah menerima plak sijil, replika cek bernilai RM10,000 dan hadiah sampingan yang disampaikan oleh Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

ALOR SETAR, 10 Okt – Walaupun usia sudah menjangkau 86 tahun, ia tidak menjadi penghalang kepada Tuan Guru Abdullah Lebai Samah untuk mengajar dan menurunkan ilmu agama kepada umat Islam terutamanya di Kedah.

Beliau yang merupakan pengasas Pondok Madrasah Takwiyatul Islamiah di Jalan Kubur Panjang dekat Pokok Sena itu tanpa henti menyampaikan dakwah dan telah berjaya melahirkan ribuan pelajar menerusi madrasah itu.

“Saya masih meneruskan kuliah agama di madrasah setiap hari tanpa mengenakan sebarang yuran pengajian kepada mereka yang berminat untuk mempelajari ilmu agama. Sesiapa sahaja boleh belajar, saya tidak memilih dan anak murid saya terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

“Golongan muda juga ada belajar dengan saya tetapi kebanyakkan yang datang bermasalah antaranya melibatkan pengambilan dadah. Tetapi, kini ada antara mereka yang sudah berubah sepenuhnya dengan berkat membaca al-Quran dan mendalami ilmu agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah dimana dia telah dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah 2023.

Pada majlis itu, beliau telah menerima plak sijil, replika cek bernilai RM10,000 dan hadiah sampingan yang disampaikan oleh Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Sementara itu, Abdullah yang memiliki 14 orang anak dan 29 cucu itu berkata dia tidak akan pernah jemu untuk mendidik anak bangsa demi memartabatkan agama Islam.

“Saya ingin menasihatkan golongan ibu bapa pada masa kini untuk memberikan didikan agama Islam kepada anak-anak di peringkat awal untuk mencorak masa depan mereka supaya menjadi insan yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya bagaimana beliau masih aktif dan mampu mengajar pada usianya yang mencecah 86 tahun, Abdullah berkata dia tidak mempunyai sebarang petua yang istimewa kecuali mengamalkan membaca al-Quran selepas solat Subuh selain berpuasa sunat, berzikir dan berselawat kepada Rasulullah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com