Friday, 22, November, 2024
Utama Politik Manifesto BN realistik dan praktikal. tidak janjikan bulan dan bintang

Manifesto BN realistik dan praktikal. tidak janjikan bulan dan bintang

oleh admin

KUALA NERANG, 8 Nov – Manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumum kepada rakyat tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi ianya bersandarkan realiti yang mengambil kira kemampuan kewangan dan urus tadbir negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, manifesto itu juga dirangka dengan pendekatan realistik dan praktikal untuk dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita mengambil sikap bahawa apa yang hendak dipersembahkan kepada rakyat itu adalah secara menyeluruh dan tidak mahu menjanjikan ‘bulan dan bintang’. Pakatan Harapan (PH) pada 2018, bawa manifesto ‘bulan bintang’ kepada rakyat dan sekarang mereka mahu ulang semula ‘bulan’ itu kerana ‘bintang’ sudah tiada.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata

“Sekarang mereka hendak bawa turun sikit kepada ‘awan’ tetapi orang memang tidak mahu, mereka sudah berjanji dengan rakyat tetapi tidak boleh laksanakan, jadi sebab itu BN pergi ke arah yang praktikal dan tidak perlu merepek-repek.”

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur Daerah Padang Terap di Kampung Baru Padang Sanai di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan bahawa manifesto BN yang dibentangkan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, sudah tidak relevan lagi.

Mengulas mengenai manifesto Perikatan Nasional (PN) berkaitan harga lantai getah, Mahdzir berkata agenda untuk menetapkan harga lantai getah sudah lama dibawa BN.

Namun katanya, terdapat parti politik lain yang turut mahu membawa perkara yang sama.

“Rancangan ini sudah beberapa kali dibawa tetapi Parlimen dibubarkan pula, jadi selepas ini kalau diizinkan Allah, BN dapat membentuk kerajaan kita akan teruskan mencari formula untuk harga lantai getah.”

BN tambah Mahdzir, akan secara berterusan membincangkan isu harga lantai getah yang sesuai dengan keadaan semasa bagi membantu pekebun kecil keluar dari garis kemiskinan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, berkata, selain harga getah pihaknya turut akan membincangkan bantuan musim tengkujuh kepada penoreh getah yang terkesan dengan cuaca yang tidak menentu.

“Kita telah bincang dua perkara itu
dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

“Bagi jangka masa pendek, dalam Bajet tahun depan kita mahu beri bantuan musim tengkujuh kepada semua pekebun kecil yang ada kebun getah untuk empat bulan yang membabitkan nilai RM800 berbanding sebelum ini selama dua bulan dengan nilai RM200.

“Bagi jangka masa panjang pula, sebuah jawatakuasa ditubuhkan antara Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi dimana dua kementerian ini akan bekerjasama mencari formula harga lantai getah yang perlu diletak pada harga yang lebih tinggi berbanding sekarang,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com