Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Program Kembali Ke Sekolah 2023 bantu 1,600 murid miskin

Program Kembali Ke Sekolah 2023 bantu 1,600 murid miskin

oleh Ammar Haziq
Barisan petugas Etiqa Takaful & Insurans wilayah utara dan IAM turun menyantuni pelajar miskin di Baling pada hari ini.

BALING –  1,600 orang pelajar peringkat sekolah rendah dari keluarga miskin mendapat perhatian Islamic Aid Malaysia (IAM) dan Etiqa Insurans & Takaful melalui program Kembali Ke Sekolah 2023.

Sebanyak lapan siri penjelajahan sedang diadakan di mana Kedah merupakan lokasi kelima selepas Negeri Selangor, Sabah, Sarawak dan Kelantan.

Program ini akan diteruskan lagi ke Negeri Perak, Pahang dan Johor bagi memenuhi tanggungjawab pengagihan sumbangan zakat Etiqa Takaful kepada mereka yang benar-benar memerlukan. 

Pada hari ini menyaksikan penyerahan uniform sekolah kepada 200 orang pelajar miskin dan memerlukan yang melibatkan pelajar-pelajar kurang berkemampauan dari Sekolah Kebangsaan Tanjung Pari dan juga pelajar dari kawasan sekitar. 

Setiap pelajar yang terpilih telah menerima dua set uniform sekolah, beg sekolah dan dua pasang kasut, sejadah beserta stokin sebagai persediaan untuk menghadapi sesi persekolahan 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif, Wilayah Utara, Etiqa Takaful & Insurans, Haslinda Omar berkata,  pihaknya berbangga dapat mengaturkan pelbagai program kebajikan pada tahun ini. 

Haslinda (kanan) dan Zawahir (kiri) menyantuni seorang murid yang menerima bantuan Program Kembali Ke Sekolah 2023.

Menurutnya, beberapa aktiviti tanggungjawab zakat korporat telah disusun atur di bawah bumbung Unit Korporat dan Syariah dan dijalankan bagi memberi bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik melalui program bantuan penyerahan Uniform sekolah kepada pelajar sekolah rendah.

“Sumbangan Etiqa kepada Islamic Aid Malaysia (IAM) adalah sebahagian daripada sumbangan zakat tahunan syarikat Etiqa Takaful & Insurans yang dihulurkan secara terus kepada institusi-institusi kebajikan yang layak di bawah program Tanggungjawab Zakat Korporat Etiqa. 

“Pihak Etiqa mengkaji dan meneliti institusi-institusi yang berkaitan dan memastikan agar hanya yang benar-benar layak akan menerima bantuan dan pada masa  yang sama meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada Islamic Aid Malaysia (IAM) melalui program utama mereka pada hari ini,” kata beliau.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia (Islamic Aid Malaysia), Zawahir Abdullah berkata, Sebagai sebuah badan NGO, pihaknya memainkan peranan sebagai pengantara di antara individu mahu pun golongan korporat yang berhajat untuk melaksanakan usaha-usaha kemanusiaan dalam membantu golongan yang memerlukan.

Antara murid yang menerima bantuan Kembali Ke Sekolah 2023 daripada Islamic Aid Malaysia (IAM) dan Etiqa Insurans & Takaful.

“Jika sebelum ini, kami hanya menyumbangkan bantuan berbentuk pek makanan, namun atas dasar prihatin terhadap nasib kanak-kanak yang kurang berkemampuan bagi meneruskan sessi persekolahan, pihak kami bercadang untuk membantu menyediakan kelengkapan persekolahan mereka. 

“Lebih menarik lagi, sesi bantuan ini turut melibatkan penyertaan kanak-kanak tersebut. Mereka bebas membuat pilihan dan merasai sendiri keseronokan membuat persiapan persekolahan, katanya.

Beliau juga turut menyeru supaya lebih banyak lagi syarikat korporat turut mencontohi usaha Etiqa ini dalam menjayakan misi-misi kemanusiaan dan kebajikan kelolaan Islamic Aid Malaysia (IAM).

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com