KEDAH – Kerajaan bertekad untuk menoktahkan masalah kemiskinan tegar yang didapati masih membelenggu golongan rakyat tertentu di negara ini.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini adalah sesuatu yang mengaibkan apabila negara seperti Malaysia yang mempunyai pelbagai hasil, namun masih gagal menyelesaikan isu kemiskinan tegar dalam kalangan rakyatnya.
Beliau berkata, tumpuan lebih akan diberikan kepada negeri yang didapati mempunyai jumlah penduduk miskin tegar yang tinggi bagi membantu mereka keluar dari kepompong kesukaran hidup.
Tahun ini kerajaan ambil keputusan menoktahkan kemiskinan tegar, antara negeri yang masih catat jumlah kemiskinan tegar termasuk Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah. Tanpa kecuali, kita akan tangani masalah kemiskinan tegar melalui pelbagai program Kerajaan Perpaduan kerana kita tekad menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara termasuk Kedah. Saya minta kerjasama agensi Kerajaan Pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bantu, adalah mengaibkan negara yang ada potensi dan khazanah besar seperti minyak, gas, kelapa sawit dan industri, namun gagal menyelesaikan kemiskinan tegar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI di Hotel Raia di Alor Setar, hari ini.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah turut berkenan mencemar duli berangkat hadir memeriahkan majlis berkenaan.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta barisan jemaah menteri lain.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Kerajaan Pusat turut memberikan tumpuan kepada Kedah melalui pelbagai bantuan tanpa mengira kedudukan negeri itu di bawah pentadbiran berbeza di Putrajaya.
Kedah antara negeri yang diberi tumpuan, kita memutuskan untuk beri peruntukan yang tinggi berbanding tahun lalu, iaitu mencecah RM1.6 bilion pada 2023 tidak termasuk bantuan seperti membaiki sekolah dan klinik daif serta projek bekalan air di beberapa daerah. Saya beri jaminan untuk mempercepatkan semua proses itu dengan kerjasama negeri dan PBT, selain ada permohonan lain yang kita akan beri pertimbangan sewajarnya. Macam saya sebut, sama ada kerajaan negeri bersama parti Kerajaan Perpaduan atau tidak, tanggung jawab kita adalah memelihara rakyat tetap diteruskan.