PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor memperincikan soal penyelarasan melibatkan tatakelola dan peruntukan berhubung pembangunan dan ekonomi negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan selepas menerima kunjungan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, semalam.
“Antara isu yang disinggung meliputi pembinaan infrastruktur kesihatan dan jalan raya, Kompleks Kastam, Imigresen & Kuarantin (CIQ), Pusat Kewangan, pembinaan masjid serta sekolah agama di tanah wilayah Felda.
“Turut ditekankan adalah bantuan pasca banjir bagi golongan petani, penternak dan nelayan; serta isu penyelenggaraan dan pembaikan rumah-rumah pangsa melebihi 40 tahun,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Justeru, Anwar percaya, perancangan diatur itu penting bagi memastikan pengurusan dan pelaksanaan projek memberi dampak yang menyeluruh buat rakyat.
“(Ia) khususnya di negeri Johor dan negara jiran,” katanya.