Thursday, 21, November, 2024
Utama Nasional Golongan muda berdepan defisit kepercayaan

Golongan muda berdepan defisit kepercayaan

oleh admin

BANGI : Golongan muda kini berdepan defisit kepercayaan berikutan dengan budaya memberikan janji palsu dan fatwa mengikut selera politik dalam amalan rasuah pemimpin tertentu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, fenomena seperti itu akan menjadikan golongan muda bingung dan memikirkan nasib mereka tidak dibela sekiranya menyokong pimpinan kerajaan yang mengamalkan budaya sedemikian.

“Saya minta kerjasama saudara, tidak harus ada ‘trust defisit’ bagi orang yang cuba membawa perubahan dengan sedaya mereka mengikut ajaran al-Quran. Kita (kerajaan) cuba.

“Saya datang ke sini bukan untuk mengecam membuta tuli tapi saya ada asas yang kukuh. Percayalah negara ini harus diselamatkan. Negara ini tidak harus terkenal sebagai negara dengan pemimpinnya rasuah belaka,”

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada Majlis Cakna MADANI Perdana Menteri Bersama Pelajar Tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi di sini hari ini.

Bagi mengembalikan keyakinan golongan muda terhadap kerajaan, Anwar bertekad dengan amanah yang diberikan rakyat kepadanya pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lepas, beliau akan mengembalikan semula tata kelola pentadbiran yang baik selain memerangi isu rasuah dalam memastikan kelancaran kepimpinannya.

Beliau berkata pimpinan dalam Kerajaan Perpaduan juga mempunyai kesepakatan yang sama untuk meninggalkan amalan buruk itu demi memastikan Malaysia terus terpelihara.

“Saya baru tujuh bulan jadi perdana menteri. Saya tahu ini bukan kerja kecil. Kelompok besar yang rasuah akan berpakat untuk bayar dana kepada orang politik dan NGO (badan bukan kerajaan) untuk serang kerajaan.

“Rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri jaga (perkara ini), walaupun latar belakang lain, parti lain…yang penting kesepakatan kami, komitmen kami tinggalkan amalan yang jelik ini,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com