Friday, 3, May, 2024
Utama Nasional Malaysia dan Filipina perlu lebih efektif tembusi pasaran halal Asia Barat

Malaysia dan Filipina perlu lebih efektif tembusi pasaran halal Asia Barat

oleh admin

PUTRAJAYA – Malaysia dan Filipina perlu lebih efektif dalam menembusi pasaran industri halal di Asia Barat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata perkara itu dibincangkan bersama Presiden Filipina, Ferdinand R Marcos Jr dalam pertemuan empat mata di bangunan Perdana Putra hari ini.

“Kami menyentuh mengenai potensi industri halal antara kedua-dua negara, terutama dalam aspek pensijilan halal.

“Bagaimanapun, saya berpandangan kita perlu mengambil langkah untuk memastikan sektor halal ini dapat menembusi dengan lebih efektif di pasaran negara Asia Barat,” katanya.

Anwar berkata, dalam perbincangannya dengan Marcos, kedua-dua negara menyentuh mengenai usaha untuk memperkasakan hubungan bilateral terutama berkaitan perdagangan dan pelaburan.

Katanya, kekuatan hubungan antara kedua-dua negara memberi lebih ruang dan peluang untuk meneroka potensi yang ada.

“Filipina mempunyai kekuatan ekonomi tersendiri dalam kapasiti sektor perniagaan dan saya berpandangan komuniti perniagaan perlu bersama mengambil peluang mengembangkan lagi hubungan bilateral serta ekonomi dan pada masa sama menghidupkan semula ekonomi kita pasca pandemik COVID-19.

“Kami juga mengambil maklum ada perkembangan baik pasca COVID-19 di Filipina dan di bawah pentadbiran Presidennya, kami semestinya akan mengambil peluang untuk meningkatkan lagi kerjasama ini,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com