Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Tuntutan Sulu, kerajaan tidak teragak-agak ambil tindakan terhadap rakyat bersekongkol, sabotaj negara

Tuntutan Sulu, kerajaan tidak teragak-agak ambil tindakan terhadap rakyat bersekongkol, sabotaj negara

oleh admin

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu termasuk rakyat Malaysia yang didapati bersekongkol atau membantu kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu terhadap tuntutan Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata polis sudah memulakan siasatan terhadap pihak yang membuat tuntutan, penimbang tara, peguam serta pihak-pihak lain yang berkaitan di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan bagi kesalahan sabotaj.

“Di sini, saya juga ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah menurut undang-undang yang sedang berkuat kuasa terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara Malaysia yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara.

“Termasuk mereka yang memberikan sebarang sokongan, bantuan secara langsung mahupun tidak langsung dan bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sesi penerangan berhubung tuntutan waris Sulu terhadap Sabah, di sini.

Sebelum ini media melaporkan kerajaan sedang menyiasat kemungkinan wujud ‘tali barut’ dalam kalangan rakyat negara ini yang membantu dalam kes kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Mendedah situasi itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, tidak menolak kemungkinan orang dalam menjadi dalang dalam tuntutan kumpulan Sulu itu, berdasarkan tuntutan tanpa henti mereka atas syarikat berkaitan kerajaan Malaysia di luar negara.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Malaysia sentiasa komited dalam bertindak secara proaktif bagi menamatkan isu tuntutan berkenaan, selain memastikan kepentingan Malaysia serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Dalam hal ini, Kerajaan Malaysia akan terus mara ke hadapan dan berjuang habis-habisan, demi melindungi dan memelihara kepentingan dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa,” katanya.

Sebelum ini, Malaysia memutuskan mengambil beberapa tindakan perundangan melalui proses mahkamah di Perancis bagi terus mempertahankan kedudukan dan pendirian negara dalam mencabar tuntutan kumpulan Sulu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com