BACHOK – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM500 juta bagi mengatasi masalah air bersih di Kelantan.
Beliau berkata bantuan itu merupakan satu keperluan kepada rakyat yang sering membangkitkan mengenai isu air bersih di negeri ini.
“Kita bincang dengan kerajaan Kelantan untuk atasi masalah air bersih. Saya kata nak minta banyak sangat tidak boleh.
“Jadi kita mulakan projek, tetapi perlu dikendalikan bersama dan diuruskan mengikut saluran yang betul,” katanya ketika berucap pada Program ‘Temu Anwar Kelantan’ di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok, di sini yang turut dihadiri lebih 5,000 penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) Kelantan.
Media sebelum ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM1 bilion kepada Kelantan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu bermula tahun ini.