Saturday, 4, May, 2024
Utama Nasional Bekas pemain kebangsaan tidak mengaku bersalah cederakan kekasih

Bekas pemain kebangsaan tidak mengaku bersalah cederakan kekasih

oleh Ammar Haziq

PETALING JAYA – Bekas pemain kebangsaan, Mohd Rizal Mohd Ghazali dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua pertuduhan merosakkan telefon bimbit dan mencederakan kekasihnya di sebuah hotel pada dua minggu lalu.

Walaubagaimanapun, pemain pertahanan Sabah FC berusia 31 tahun itu tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang beraksi dalam Liga Super ini didakwa memukul Hani Farhana Hasrul Sani, 37 dan melakukan khianat dengan merosakkan telefon bimbit mangsa sama, mencecah kerugian dianggarkan RM4,500 di di sebuah bilik hotel di sini, pada jam 6 pagi, 7 Jun lalu.

Bagi kes mencederakan Hani Farhana, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi kes merosakkan telefon, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal kemudian mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin selain memenuhi syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa serta saksi.

Walaubagaimanapun, Rizal yang diwakili peguam, Datuk Suraj Singh merayu agar kadar ikat jamin dikurangkan kerana anak guamnya telah memberi kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang kes ini disiasat.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan serta sebutan kes ditetapkan pada 24 Ogos depan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com