Sunday, 28, April, 2024
Utama Nasional Kerajaan Perpaduan peruntuk RM393.8 bilion bagi Belanjawan 2024, 19.9 peratus daripada KDNK

Kerajaan Perpaduan peruntuk RM393.8 bilion bagi Belanjawan 2024, 19.9 peratus daripada KDNK

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM393.8 bilion atau 19.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diperuntukkan bagi Belanjawan 2024 dengan tiga kementerian – Kewangan, Pendidikan dan Kesihatan menjadi penerima utama.

Ia merangkumi 42.3 peratus daripada jumlah perbelanjaan, menurut Kementerian Kewangan dalam laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 yang dikeluarkan hari ini.

Daripada RM393.8 bilion, katanya sebanyak RM303.8 bilion atau 77.1 peratus disalurkan kepada perbelanjaan mengurus (OE) manakala baki RM90 bilion diperuntukkan kepada perbelanjaan pembangunan (DE).

Pada 2023, jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan telah disemak semula meningkat kepada RM397.1 bilion atau 21.5 peratus daripada KDNK berbanding peruntukan asal belanjawan iaitu RM386.1 bilion atau 20.4 peratus daripada KDNK.

“Pada 2023, OE yang disemak semula dianggar meningkat sebanyak 2.5 peratus kepada RM300.1 bilion atau 16.2 peratus daripada KDNK. Ini disebabkan perbelanjaan subsidi lebih tinggi untuk elektrik dan minyak masak, perkhidmatan pembersihan dan keselamatan sekolah serta inisiatif di bawah kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.

Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan kekal komited untuk mencapai keseimbangan antara penyediaan sokongan fiskal dalam melaksanakan perubahan struktur jangka panjang dan memastikan perbelanjaan awam yang berhemat di sebalik cabaran daripada tekanan luaran.

Berdasarkan peruntukan mengikut sektor bagi Belanjawan 2024, sektor sosial diperuntukkan sebanyak RM149.7 bilion atau 7.6 peratus daripada KDNK, diikuti ekonomi (RM66.7 bilion; 3.4 peratus), keselamatan (RM40.1 bilion; 2 peratus) dan pentadbiran am (RM16.9 bilion; 0.9 peratus). Baki sebanyak RM120.4 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan.

Bagi terus menyokong penggunaan sektor awam, peruntukan OE dianggar sebanyak RM303.8 bilion atau 15.4 peratus daripada KDNK.

“Walaupun terdapat peningkatan peruntukan untuk emolumen, bayaran khidmat hutang (DSC), bayaran persaraan serta perkhidmatan dan bekalan, namun kenaikan tersebut diimbangi dengan peruntukan subsidi lebih rendah yang menyebabkan OE meningkat sedikit pada kadar 1.2 peratus berbanding 2023,” katanya.

Emolumen untuk penjawat awam kekal sebagai komponen terbesar yang merangkumi 31.5 peratus daripada OE dan dijangka meningkat sebanyak 4.8 peratus kepada RM95.6 bilion.

Pertumbuhan ini terutamanya disumbangkan oleh kenaikan gaji tahunan dan pengambilan baharu untuk mengisi jawatan kritikal khususnya dalam perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.

Subsidi dan bantuan sosial yang merangkumi 17.4 peratus daripada OE diunjur menyusut sebanyak 17.9 peratus kepada RM52.8 bilion disebabkan pelaksanaan program rasionalisasi subsidi secara berperingkat terutamanya bahan api dan elektrik.

Daripada jumlah tersebut, sekitar 60 peratus digunakan untuk pembayaran subsidi manakala selebihnya adalah untuk bantuan sosial dan insentif.

Di samping itu, program bantuan sosial akan terus diperkukuh melalui pembangunan pangkalan data berpusat yang baharu untuk mengatasi isu ralat pemasukan dan penyisihan.

Sejumlah RM49.8 bilion diperuntukkan bagi DSC yang merangkumi 16.4 peratus daripada OE terutamanya disebabkan hutang Kerajaan Persekutuan yang semakin meningkat.

Selaras dengan rangka kerja Ekonomi MADANI, katanya pendirian fiskal akan terus memberi penekanan kepada kecekapan dan keberkesanan perbelanjaan awam serta menjana nilai faedah yang lebih baik di samping meminimumkan ketirisan dan pembaziran.

“Kerajaan kekal komited untuk mencapai kedudukan fiskal yang kukuh di samping menggalakkan pelaburan yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa panjang,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com