KUALA LUMPUR:Kerajaan akan memulakan Pembangunan Kejiranan Madani Wilayah Persekutuan untuk golongan M40, B40 dan rentan miskin tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata menerusi pembangunan itu, golongan sasar berkenaan akan tinggal dalam satu kawasan kejiranan sama serta dilengkapi pelbagai kemudahan asas.
Katanya, pembangunan bukan hanya membabitkan kediaman untuk dijual, tetapi juga untuk disewa yang akan ditawarkan mengikut kategori pendapatan.
“Ia akan membabitkan beberapa komponen pembangunan termasuk Residensi Prihatin Madani bagi golongan M40 yang berpendapatan isi rumah RM7,000 sebulan ke bawah, dengan unit ditawarkan berkeluasan 800 kaki persegi dan nilai jualan RM200,000.
“Selain itu, Residensi Madani ditawarkan bagi golongan B40 berpendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah, membabitkan unit berkeluasan 750 kaki persegi dan nilai jualan RM180,000.
“Bagi yang berpendapatan RM4,000 ke bawah, khas untuk golongan bujang atau belia dan pasangan yang baharu berkahwin serta berusia 30 tahun ke bawah, akan ditawarkan Residensi Sejahtera Madani, dengan harga RM150,000 dan keluasan 700 kaki persegi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Temu Mesra Bersama Pemilik Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan perasmian tempat letak kereta Taman Tasik Metropolitan Kepong di sini, hari ini.
Pembangunan Kejiranan Madani Wilayah Persekutuan bermula tahun ini
615
Pos Sebelumnya