ALOR SETAR – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) turun dengan misi memburu mata pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam Ahad.
Ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain, berkata tewas 0-1 di laman sendiri pada aksi pertama ketika menentang PDRM FC 4 Mac lalu perlu dielakkan sekali lagi.
Menurutnya, Sang Kenari perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dengan taktikal skuad Sang Saka Biru itu.
“Kita tahu aksi menentang PDRM FC di tempat lawan adalah aksi yang dijangka sengit dan tidak mudah berdasarkan prestasi mereka pada musim ini.
“Mereka berada pada tahap terbaik dengan kemampuan melakar kejutan ke atas kami dan juga beberapa pasukan pilihan dalam Liga Super.
“Pemain perlu lebih fokus dan berdisiplin apabila turun beraksi dengan misi kali ini kerana kita mahu tidak lagi keciciran mata,” katanya selepas sesi latihan petang Jumaat di Stadium Darul Aman.
Nafuzi berkata, kehadiran semula dua tonggak utama iaitu Manuel Ott dan Lee Tuck yang tidak beraksi pada perlawanan lalu kerana digantung perlawanan.
Menurutnya, persediaan pasukan berada pada tahap yang baik namun KDA FC perlu terus fokus daripada segi mental dan juga fizikal disamping mengelak melakukan kesilapan mudah.
Dalam perkembangan sama, Nafuzi juga boleh menarik nafas lega apabila dua import baharu Sang Kenari iaitu Ifedayo Olusegun dan Moses Atede dilihat sudah bersedia untuk diturunkan bertemu Sang Saka Biru.