Tuesday, 26, November, 2024
Utama Nasional Yusuf Al-Qaradawi pesan angkat martabat Islam – Anwar

Yusuf Al-Qaradawi pesan angkat martabat Islam – Anwar

oleh admin

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu ulama tersohor, Allahyarham Syeikh Yusuf Al-Qaradawi pernah berpesan kepadanya agar mengangkat martabat dunia Islam di mata dunia.

Perdana Menteri berkata Allahyarham turut meminta beliau agar terus menjalin hubungan dengan negara luar termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Jelas beliau, sokongan yang diberikan Syeikh Yusuf muncul di sebalik kritikan banyak pihak yang melihatnya terlalu ‘baik’ dengan AS ketika itu.

“Saya sewaktu di Qatar kebetulan ada Setiausaha AS (ketika itu) dan Hillary Clinton. Selepas itu saya makan tengah hari dengan Syeikh Yusuf.

“Berbeza dengan orang yang mengatakan Anwar ini baik dengan Amerika, dia tidak. Pendekatan dia lain. Dia kata dengan saya, ‘you bincang pasal apa’ (dengan Clinton)?

“Saya bincang pasal 1,2,3,4 (merujuk kepada penjelasan perbincangan ketika itu). Okay. Clinton begini begini begini….

“Dia kata teruskan Anwar. Kita perlu dalam kalangan pemimpin umat Islam, orang yang boleh menyampaikan pandangan kita (dunia Islam) yang menunjukkan kekuatan, keupayaan dan akhlak yang baik dalam kalangan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Peluncuran Buku “Autobiografi Syeikh Yusuf al-Qaradawi: Sang Pelita Umat”,
di sini pada semalam.

Berkongsi lanjut, Anwar berkata Syeikh Yusuf mahu beliau memanfaatkan hubungan baik antara negara dunia untuk menyebar kebaikan dan akhlak Islam.

“Padahal di sesetengah tempat, dia (segelintir pihak) hentak saya lunyai. Alat, perkakas, ejen (dituduh). Itu dipertahankan, malah dia bagi galakan kepada saya.

“Kerana dia kata – ‘Anwar, tak ramai orang begitu di dunia Islam. Kita harus jadikan ini tugas kita memanfaatkan kekuatan kita, tegas dalam soal Islam, jaga akhlak Islam, serta bawa satu contoh yang baik. Tetapi pertahankan keperluan kekalkan jaringan dengan semua pihak termasuk AS dan Eropah’,” ujar Anwar lagi.

Dalam pada itu, Anwar turut menangkis dakwaan segelintir pihak yang melebel Allahyarham Syeikh Yusuf sebagai modenis dan antisufi.

Beliau berkata, individu yang menggelar Allahyarham Syeikh Yusuf sedemikian disifatkan sebagai bebal.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata amalan ‘wasatiah’ dalam ketokohan Syeikh Yusuf patut dijadikan sebagai rujukan pemikiran baharu.
Jelas Perdana Menteri, amalan tersebut harus diteroka agar generasi muda dapat mempelopori pemikiran dan semangat Syeikh Yusuf dalam menimba ilmu.

Buku “Autobiografi Syeikh Yusuf al-Qaradawi: Sang Pelita Umat” mengisahkan perjalanan hidup Syeikh Yusuf serta semangat sejarah perjuangan dan pemikiran kritis tokoh ulama dunia agar dapat diteladani oleh generasi muda.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham telah menghasilkan lebih 100 buah buku termasuk naskhah perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.

Syeikh Yusuf meninggal dunia pada 26 September tahun lalu pada usia 96 tahun.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com