Tuesday, 30, April, 2024
Utama Politik Kerajaan beri amaran terakhir isu 3R – PM

Kerajaan beri amaran terakhir isu 3R – PM

oleh admin

KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran terakhir kepada mana-mana pihak termasuk pimpinan politik agar berhenti memainkan isu 3R (agama, bangsa dan Institusi Diraja) semata-mata untuk meraih dan mengekalkan kuasa.

Beliau berkata, pihak terbabit yang mahu menyemai bibit perpecahan dan mencabar Perlembagaan, tidak lagi boleh dibiarkan.

Jelas Anwar, Majlis Raja-Raja turut menggesa kerajaan agar negara ini diselamatkan daripada kelompok yang terdesak untuk mempertahankan kuasa sehingga sanggup menimbulkan hura-hara.

“Negara tidak boleh bertahan dan stabil kalau dibiarkan unsur-unsur kecil yang sangat terdesak dengan membuat apa sahaja hanya untuk mempertahankan kuasa dan mencari pengaruh baharu.

“Ini maknanya amaran terakhir daripada kerajaan sebab selaku Perdana Menteri, saya tiada pilihan kerana desakan daripada kalangan berfikir dan untuk mempertahankan negara, ini mengatasi kepentingan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan pada Selasa malam.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata terdapat segelintir pihak yang merasakan kedudukan mereka terlalu tinggi dan hebat, sehingga tidak boleh didakwa atau dicabar.

“Negara tidak boleh begitu… Kita tak boleh pandang dan pilih kedudukan, pangkat, keturunan atau kekayaan.

“Kalau begini pandangannya, ia akan merosakkan (negara). Saya anggap keadaan sudah sampai serius kerana puluhan tahun kita nampak dan lihat kenyataan-kenyataan yang melampau dan dibiarkan,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang mengambil tindakan mengikut perundangan tanpa mengira pangkat atau kaum.

“Setakat ini yang saya dimaklumkan oleh pihak MCMC dan PDRM, tanpa kecuali pantau semua.

“Kalau pelampau itu Melayu, atau berpangkat tinggi sekalipun, atau Cina dan India, itu bukan persoalan. Kalau langgar peraturan undang-undang (tindakan akan diambil),” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com