Wednesday, 8, May, 2024
Utama Sukan MPKP sasar naik taraf fasiliti, lahir ramai atlet kebangsaan

MPKP sasar naik taraf fasiliti, lahir ramai atlet kebangsaan

oleh Ammar Haziq

JITRA – Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) memberi tumpuan serta meningkatkan fasiliti sukan di daerah tersebut dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet di pelbagai lapangan sukan untuk negeri dan negara pada masa hadapan.

Yang Dipertua MPKP, Badrulhisham Sulaiman berkata, beberapa nama besar atlet telah berjaya dilahirkan di daerah ini terutamanya dari sekolah sukan negeri Kedah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, dekat sini.

Bagi memastikan perkembangan sukan terus subur di daerah ini,  pihaknya akan terus meninjau beberapa fasiliti lain yang mungkin boleh dikembangkan lagi ataupun naik taraf dengan mendapatkan peruntukkan daripada Kementerian Belia Sukan (KBS) atau mana-mana persatuan yang terlibat. 

“Bagi saya sendiri, saya melihat daerah ini telah melahirkan ramai atlet tidak kiralah dalam jenis sukan apa seperti bolasepak, angkat berat, kayak dan silat.

“Banyak atlet (dilahirkan di sini) bukan sahaja mewakili negeri tetapi juga juga negara yang merupakan anak jati Kubang Pasu,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Perasmian Makan Malam dan Koperasi Anak Darul Aman Berhad, di Dewan Jitra, dekat sini baru-baru ini.

Antara atlet yang berjaya dilahirkan oleh SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman adalah Syafiq Ahmad, Amirul Hisham Awang Kechik, Mohd Aiman Afif Md Isa, dan Mohd Ariff Farhan Md Isa dalam sukan bolasepak, Firdaus Abd Razak (angkat berat), Roslinda Samsu (lompat bergalah) dan Shahrul Amri Suhaimi (lompat jauh).

Badrulhisham berkata lagi, daerah tersebut kini sudahpun mempunyai sebuah mini stadium yang dikenali Stadium MPKP dan pihaknya kini telah mendapat peruntukan baharu untuk memasang kemudahan lampu limpah di sebuah padang lain.

Menurutnya, kemudahan itu akan dipasang di padang yang berada di belakang Kompleks Pentadbiran MPKP sekaligus mengalakkan lagi aktiviti sukan terutamanya bolasepak yang bukan sahaja boleh diadakan pada waktu siang tetapi juga pada waktu malam.

“Kami ucapakan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan juga kementerian tertentu yang banyak membantu daerah Kubang Pasu.

“Mereka membantu bukan sahaja daripada segi prasarana pembangunan sukan tetapi juga berkaitan kemudahan lain seperti pasar dan juga tandas awam di daerah ini,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, mengulas tentang pelancaran Koperasi Anak Darul Aman Berhad pula, Badrulhisham mengharapkan koperasi tersebut bakal menjadi platform dalam meningkatkan pendapatan ahli-ahlinya selepas ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com