KUALA LUMPUR – Kesemua menteri akan ditugaskan secara harian untuk mengumumkan dasar dan program yang dirancang di bawah konsep Ekonomi Madani, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ini kerana kerangka ekonomi itu akan dijadikan asas bagi beberapa dasar spesifik lain yang dijadualkan untuk diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.
“Sebelum ini, Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) telah mengumumkan (pelan) Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (selaras Ekonomi Madani).. dan dalam beberapa minggu akan datang, (kerajaan) akan mengumumkan Pelan Induk Industri.
“Menyusul selepas itu, kajian semula separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 dan hanya pada Oktober, akan ada (pengumuman) mengenai belanjawan kedua Madani,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Percukaian Kebangsaan 2023 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Datuk Dr Mohd Nizom Sairi dan Presiden Institut Percukaian Malaysia (CTIM) Chow Chee Yen.
Inisiatif Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat diumumkan Anwar pada 27 Julai lepas, bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia dan dijangka membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerangka ekonomi itu adalah satu rencana menyeluruh bagi Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan isu berkaitan daya saing dan tarikan negara sebagai destinasi pelaburan serta menggariskan tindakan bagi menangani isu-isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
Inisiatif Ekonomi Madani menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai dalam tempoh 10 tahun.