Saturday, 27, April, 2024
Utama Politik Politik stabil, Malaysia semakin dikenali di pentas dunia – PM

Politik stabil, Malaysia semakin dikenali di pentas dunia – PM

oleh admin

KUALA PILAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nama Malaysia kini semakin baik serta dikenali di pentas dunia berikutan tatakelola dan mempunyai dasar serta kestabilan politik yang kukuh sekali gus menarik pelaburan luar.

Anwar berkata perkara itu antara lain dibuktikan apabila Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc, Elon Musk mahu berbincang dengan beliau sendiri bagi menyatakan komitmennya untuk membuka ibu pejabat syarikat berkenaan di Cyberjaya tahun ini.

Beliau berkata, ini merupakan satu penghormatan yang amat besar kepada Malaysia susulan dasar ekonomi, termasuk Ekonomi MADANI, yang diamalkan oleh negara selain kepimpinan telus Kerajaan Perpaduan.

“Politik stabil untuk apa, saya tegaskan untuk bangunkan ekonomi dan tarik pelabur, dulu pelabur tak datang, kita tengok pembesar luar negara jarang datang ke Malaysia, sekarang minggu lepas sahaja Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, dah 49 tahun beliau tak datang, kalau datang pun sebab persidangan antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan, di sini, malam tadi.

Perdana Menteri berkata, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, yang dijadual mengadakan lawatan negara Khamis ini bagi membincangkan peluang pelaburan, turut menzahirkan azam baginda untuk meningkatkan lagi hubungan Brunei dan Malaysia ke tahap paling baik dalam sejarah.

Dalam perkembangan lain, Anwar mengecam tindakan individu tertentu menggunakan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang disunting bagi tujuan politik dan berkata beliau tidak akan bersimpati dengan mana-mana pihak yang tidak menghormati institusi diraja.

“Kita ada Perlembagaan (yang) kita patuh, jangan buat pasal… saya tidak simpati pada orang yang cuba mengingkari kuasa raja-raja,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut memaklumkan bahawa beliau akan mempengerusikan mesyuarat penyelarasan gaji dan pencen penjawat awam minggu depan.

“Tetapi menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, ia akan ambil masa mungkin enam bulan paling minimum, lambat sikit jadi sementara itu, bagilah (sedikit imbuhan) kepada mereka, sebab itu saya luluskan sementara RM300 untuk penjawat awam yang gaji kurang daripada RM100,000 setahun, campur RM100 pemberian e-dompet, jadi RM400.

“Yang pencen dapat RM200 campur RM100, jadi RM300 termasuk veteran tentera yang tidak berpencen pun kita bagi RM200… tapi ini hanyalah langkah sementara kita buat dalam keadaan kekangan wang yang ada,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com