KUALA LUMPUR:Konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan kerajaan Perpaduan adalah untuk mengangkat martabat umat Islam dan negara ke peringkat yang lebih baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia mampu dilaksanakan sekiranya usaha untuk memahami al-Quran diberikan keutamaan khususnya dalam aspek memahami apa itu Islam dalam konteks sebuah negara berbilang kaum.
“Kita akui sebagai satu negara pelbagai kaum kita tetap akan menyantuni dan memberi jaminan keadilan, keselesaan hidup bagi semua, jaminan dan terus mengulangi bahawa walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan.
“Kita akan terus mempertahankan akidah, kita akan terus menegakkan kesucian agama dan mempromosikan Islam dan menyediakan pendidikan dan sokongan yang mencukupi untuk latihan, untuk memahami Islam, dan melaksanakan program Islam dan pembaharuan Islam.
“Tetapi pada masa yang sama, kita tegas bahawa negara ini, atas nama ummah, akan melindungi hak setiap rakyat termasuk bukan Islam, Kristian, Hindu atau Buddha di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa kali Ke-63 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), malam tadi.
Beliau berkata, Islamofobia bukan sahaja hasil daripada kejahilan dan kedangkalan kelompok barat, tetapi ia juga lahir dari ketidakfahaman terhadap al-Quran.
“Saya sebut perbenturan idea antara kuasa melampau anti-Islam yang dikenali sebagai Islamofobia hari ini, dan tindakan yang menggunakan kaedah yang sangat melampau dan fanatik atas nama mempertahankan Islam.
“Tetapi dalam satu cara, ia telah menjatuhkan nama dan maruah Islam, kerana kecenderungan untuk melakukan tindakan keganasan,” tegasnya.
Pertandingan tahun ini membabitkan 76 orang peserta dari 52 buah negara, dan akan berlangsung sehingga 24 Ogos depan.