KUALA LUMPUR:Sebanyak RM2 bilion diperuntunkkan kerajaan
sebagai dana awal bagi Fasiliti Peralihan Tenaga Negara dalam usaha menjana kewangan secara teradun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan berkenaan akan mengupayakan pemangkin kewangan berkenaan dalam memastikan kelancaran aliran sumber kewangan ke arah projek-projek peralihan tenaga yang berpotensi secara marginal atau menghasilkan pulangan di bawah pasaran.
“Kemajuan kita dengan mengambil kira keadaan semasa teknologi penyahkarbonan Malaysia yang belum matang, banyak bergantung kepada sumber tenaga alternatif serta kerjasama serantau dan antarabangsa yang mantap.
“Sehubungan itu, kerajaan akan memperuntukkan RM2 bilion sebagai dana asas untuk Fasiliti Peralihan Tenaga Negara.
“Contohnya, pelaburan dalam rantaian nilai kenderaan elektrik (EV), hidrogen dan teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucap tama ketika Persidangan Peralihan Tenaga Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, pada Selasa.
Perdana Menteri menambah, sekurang-kurangnya RM1.2 trilion pelaburan diperlukan di antara 2023 dan 2050 bagi membolehkan pelaksanaan peralihan tenaga dilakukan dengan penuh tanggungjawab.
Katanya, dalam dekad ini sahaja, kerajaan memerlukan di antara RM60 bilion dan RM90 bilion bagi projek penting.
“Antaranya mengembangkan pengangkutan awam, pengukuhan infrastruktur grid, dan latihan semula modal insan,” katanya lagi.