Monday, 29, April, 2024
Utama Nasional Kerajaan cadang adakan mesyuarat pertama Majlis Tenaga Negara dijangka pada Oktober ini

Kerajaan cadang adakan mesyuarat pertama Majlis Tenaga Negara dijangka pada Oktober ini

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang mengadakan mesyuarat pertama Majlis Tenaga Negara seawal Oktober ini bagi menetapkan hala tuju dan dasar strategik peringkat tinggi yang membolehkan jawatan kuasa kerja untuk menyelaras dan melaporkan kemajuan mengikut peringkat.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata Majlis Tenaga Negara akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala Kementerian Ekonomi akan bertindak sebagai sekretariat.

“Penubuhan Majlis Tenaga Negara adalah isyarat kukuh kepada hasrat kerajaan untuk bergerak melebihi pelan tindakan dan aspek penting pelaksanaannya,” katanya dalam ucap tama pada hari kedua Persidangan Peralihan Tenaga di sini hari ini.

Rafizi berkata, bagi merealisasikan manfaat ekonomi kepada negara, terdapat tiga struktur kritikal yang akan menjadi asas kepada matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Menurutnya Malaysia memerlukan tadbir urus yang kukuh, pembiayaan yang besar dan sistem pertukaran yang boleh dipercayai dan telus.

Kemudahan Peralihan Tenaga Negara bukan sahaja satu lagi kemudahan yang menempatkan pelaburan kerajaan, malah akan melaksanakan instrumen kewangan gabungan yang inovatif bagi menyatukan pembiayaan daripada saluran awam, swasta dan dermawan, katanya.

“Kerajaan melaksanakannya dengan membuat pelaburan bersama dalam projek-projek utama sebagai modal konsesi atau menerusi institusi kewangan pembangunan atau secara aktif, membangunkan projek boleh dibankkan yang sedang dilaksanakan melalui bantuan teknikal.

“Matlamat kami adalah untuk memanfaatkan dana hijau tempatan dan antarabangsa yang telah mencatatkan rekod tertinggi pada tahun lepas dan dijangka terus menerima keyakinan pelabur sekiranya kita melaksanakannya dengan berkesan,” kata beliau.

Sementara itu, Rafizi berkata Malaysia tidak akan berupaya memafaatkan sepenuhnya potensi sebenar tenaga boleh baharu (TBB) tanpa mewujudkan pertukaran tenaga fizikal di negara ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com