Sunday, 24, November, 2024
Utama Sukan Azeem penerima Anugerah Khas 100PLUS 2022

Azeem penerima Anugerah Khas 100PLUS 2022

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Muhammad Azeem Fahmi ‘muncul’ di arena trek pada usia 14 tahun selepas layak ke final acara 100 meter di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak. 


Bermula dari situ, gelaran ‘Usain Bolt Malaysia’ telah mencetuskan fenomena baharu sukan olahraga negara.


Bercita-cita menjadi individu yang berjaya sama ada di dalam mahupun di luar trek, Muhammad Azeem yang mencatat keputusan 6 A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah memilih untuk melanjutkan pelajaran serta mengembangkan karier sukannya di Universiti Auburn Alabama di Amerika Syarikat.


Kurang sebulan ‘berguru’ di bumi Amerika Syarikat, anak jati Teluk Intan, Perak ini terus unggul apabila memadamkan rekod berusia 24 tahun acara 60 meter milik Watson Nyambek di kejohanan olahraga dalam dewan.


Muhammad Azeem yang mewakili Universiti Auburn mencatat 6.63 saat di Terbuka Texas Tech & Multi di Texas , 0.03 saat lebih pantas daripada Watson Nyambek, ketika beraksi di Kejohanan Dunia Jepun pada Mac 1999.


Malah, atlet berusia 19 tahun ini juga memadamkan rekod acara pecut 100meter yang dipegang Khairul Hafiz Jantan 10.18 saat ketika beraksi di peringkat saringan.

Kejohanan Remaja Dunia, Colombia tahun lalu dengan catatan masa 10.09 saat
Pencapaian yang telah dilakar Muhammad Azeem membuka mata pengeluar minuman isotonik nombor satu negara, 100PLUS untuk memilih beliau sebagai penerima Anugerah Khas 100PLUS 2022 di Majlis Anugerah Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM) 100PLUS 2022 pada 29 Ogos di Petaling Jaya.


Pengarah Urusan Perhubungan Kerajaan dan Industri dan Pengurusan Halal, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd Dato’ Raffiq Md Ariff berkata pencapaian konsisten Muhammad Azeem sejak mula penglibatannya dalam sukan amat menakjubkan dan berharap atlet muda ini akan terus mencipta kejayaan demi kejayaan sekali gus mengangkat martabat sukan olahraga ke tahap yang
lebih tinggi.


“Kita dapat menyaksikan permata baharu dalam pembikinan dalam arena olahraga negara selepas era 90an iaitu Watson Nyambek dan Azmi Ibrahim sentiasa menghadirkan cerita yang manis untuk sukan tanah air.


“Kami berharap anugerah yang diberikan kepada Muhammad Azeem dapat dijadikan motivasi untuk terus cemerlang dalam arena olahraga sekali gus membanggakan rakyat Malaysia khususnya,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com