Monday, 29, April, 2024
Utama Nasional Kerajaan jamin semua sekolah miliki prasarana asas

Kerajaan jamin semua sekolah miliki prasarana asas

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Kerajaan Perpaduan memberi jaminan semua sekolah di negara ini akan memiliki prasarana asas yang munasabah menjelang Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sekolah yang mempunyai prasarana asas yang lengkap lebih bermakna kepada jutaan ibu bapa dan murid berbanding sekadar memiliki mercu tanda bangunan dan gedung besar.

“Kemerdekaan fikiran, pemikiran jiwa yang merdeka itu tidak hanya kagum dengan gedung raksasa, jiwa merdeka itu dengan memberi pengertian apa itu keadilan bagi semua rakyat, bukan bagi beberapa kalangan elit terpilih.

“Sebab itu kita bangga kerana sebelum akhir tahun ini, secara khususnya Oktober ini, semua sekolah di negara kita, sekolah kebangsaan, sekolah Cina, Tamil, arab, semua tanpa kecuali, akan mempunyai prasarana asas yang munasabah dengan bumbung dan tandasnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan 2023 di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sementara itu, Anwar berkata, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang bakal dilancarkan Jumaat bakal menjadikan Malaysia negara industri berteknologi tinggi dengan transformasi digital.

Katanya, NIMP 2030 bukan seperti pelan perindustrian biasa kerana ia memberi tumpuan kepada anjakan serta membuka ruang lebih luas untuk negara.

“Ia memberi tumpuan terhadap anjakan supaya tidak hanya memutuskan kepada sesuatu sektor, tetapi ke arah matlamat dan misi menjadikan Malaysia negara industri dengan teknologi tinggi, transformasi digital dan memberi ruang kepada ratusan ribu anak muda dalam bidang pekerjaan baharu.

“Transformasi digital dalam industri bukan saja dapat mengembalikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan unggul, malah meningkatkan lagi keupayaan kita,” katanya.

Beliau berkata, negara ketika ini sudah memperoleh semula perhatian daripada syarikat gergasi sehingga bersetuju menjadikan Malaysia sebagai pangkalan pelaburan penting termasuk Tesla Inc dari Amerika Syarikat (AS), Geely dari China dan Infineon Technologies dari Jerman.

“Bagi kita pelaburan ini sangat penting kerana kalau ia dapat diteruskan, Malaysia boleh memaknai kemerdekaan dan setiap anak muda dijamin pekerjaan serta tidak menganggur.

“Selepas NIMP 2023, kita akan melaksanakan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Malaysia Ke-12 (RMK12) dan sekali lagi anjakan berlaku tidak hanya kajian yang menilai perencanaan awal, tetapi membuat pengubahsuaian serta anjakan supaya pembangunan kita mampan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com