KANGAR – Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, kerajaan sedang merangka satu mekanisme terbaik dalam melaksanakan subsidi bersasar terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan dalam memastikan ia dapat disalurkan kepada kumpulan atau golongan yang tepat.
Menurutnya, langkah tersebut juga bertujuan sebagai mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap subsidi daripada kerajaan.
“Subsidi ini sebenarnya adalah satu keperluan yang dibentuk oleh kerajaan untuk menyeimbangkan bebanan yang dirasai oleh golongan tertentu terutamanya golongan berpendapatan rendah.
“Jadi kita sedang mengkaji kaedah yang terbaik dalam hal ini dan ia tidaklah bermakna subsidi ini akan terus dilupuskan namun ia akan dilakukan secara bersasar.
“Pada waktu ini juga, kumpulan sasar ini akan kita kenalpasti siapa kerana jika dahulu ada pendapat mengatakan bahawa ia perlu mengikut pendapatan bulanan dan ada pula pendapat yang mengatakan bahawa ia perlu mengikut isi rumah dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Hero Pengguna dan Jualan Rahmah Bergerak Peringkat Negeri Perlis di Arked Niaga@Business Point Wang Kelian, pada Sabtu.
Jelas Azman, subsidi bersasar telah dilaksanakan secara berperingkat menerusi sektor barangan dan pengakutan menerusi subsidi elektrik dan petrol dan diesel.
Bagaimanapun, pihaknya tidak mahu subsidi yang dikeluarkan itu dinikmati oleh orang luar atau bukan warga negara ini.
Perkara berkenaan akan menilai satu mekanisme lebih baik dari segi urus tadbir dan tatakelola subsidi ini agar golongan yang disasarkan itu dapat menikmati subsidi yang diberikan itu.
Arked Niaga@Business Point Wang Kelian dibuka semula 26 Ogos lalu dan berjaya merancakkan semula kegiatan ekonomi di kawasan itu yang sepi sejak 2016 lalu.
Selain itu, karnival Hero Pengguna ini adalah sebagai salah satu plaform dalam melahirkan pengguna bijak yang berinformasi kepenggunaan, tahu hak dan berani bertindak melalui saluran yang betul.
Malah, inisiatif karnival ini akan diperluaskan ke seluruh negara selepas ini.