JAKARTA : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketidakstabilan di Semenanjung Korea, konflik ketenteraan Myanmar, perang Rusia-Ukraine, serta penindasan Israel ke atas rakyat Palestin adalah sesuatu yang tidak harus dibiarkan oleh komuniti antarabangsa.
Beliau berkata, negara-negara peserta Sidang Kemuncak Asia Timur perlu lebih agresif memperjuangkan hak rakyat, dan bersuara dalam isu-isu yang dinyatakan melalui platform tersebut.
Menyentuh mengenai konflik di Semenanjung Korea, Anwar berkata Malaysia sangat prihatin terhadap situasi ketegangan dan provokasi yang timbul akibat pelancaran peluru balistik serta program nuklear Korea Utara.
“Pelancaran peluru balistik dan program nuklear mereka jelas melanggar resolusi yang dicapai Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) dan saya tidak fikir kita di dalam forum ini (Sidang Kemuncak Asia Timur ke-18) boleh berdiam diri dengan kebimbangan negara-negara dalam rantau ini,” katanya lagi ketika menyampaikan ucapan pencelahan di sidang kemuncak tersebut.
Turut hadir, Presiden Indonesia Joko Widodo selaku Pengerusi ASEAN, ketua-ketua negara ASEAN, serta ketua dan wakil dari Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.
Menyentuh mengenai konflik ketenteraan di Myanmar, Anwar berkata, beliau menyambut baik usaha berterusan Indonesia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dalam mencari penyelesaian terhadap isu tersebut, berdasarkan Lima Perkara Konsensus (5PC) ASEAN.
Namun, Perdana Menteri berkata, keengganan Junta Tentera Myanmar untuk berbincang, menyukarkan usaha tersebut dan masalah yang timbul bukan sahaja ditanggung Bangladesh, tetapi juga Malaysia sendiri.
“Kami terpaksa mengurus hampir 200,000 pelarian Myanmar (termasuk Rohingya) di Malaysia,” katanya lagi.
Anwar selanjutnya berkata, Malaysia menolak konflik ketenteraan di Ukraine, dan menggesa agar dialog dilakukan demi mencari penyelesaian yang tuntas. Namun pada masa yang sama beliau turut membangkitkan isu perhatian langsung tidak diberikan terhadap penindasan Israel ke atas Palestin.
“Isu ini menjadi perhatian, tetapi tidak dibincangkan secara terbuka, iaitu mengenai layanan yang berbeza (merujuk kepada konflik Ukraine–Rusia) terhadap konflik yang sudah 75 tahun di tanah Palestin.
“Komuniti antarabangsa tidak harus menutup mata terhadap penindasan dan serangan berterusan Israel terhadap hak asasi, kehidupan, dan maruah rakyat Palestin berbilang agama di tanah mereka sendiri,” tegasnya lagi.
Sebelum menutup ucapannya, Anwar turut menyentuh kebimbangan Malaysia mengenai peningkatan fasism dan Islamophobia di serata dunia.
“Kami sekali lagi menegaskan pendirian bahawa fitnah terhadap mana-mana agama adalah melanggar hak asasi manusia, dan merendahkan hak untuk mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing.
“Saya rasa dengan kehadiran ketua-ketua negara peserta forum (Sidang Kemuncak Asia Timur) ini, kita mesti mencari jalan penyelesaian terhadap isu yang berbangkit ini,” katanya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri turut membangkitkan isu yang sama sewaktu pertemuan dua hala beliau dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada 7 September 2023 semasa sidang kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta, Indonesia.
“Kedua-dua pihak membincangkan isu-isu berkepentingan bersama termasuk kerjasama ASEAN-PBB, isu-isu berkenaan Palestin dan Myanmar.
“Perdana Menteri mengulangi komitmen Malaysia untuk bekerjasama rapat dengan PBB dan ASEAN terutamanya dalam usaha untuk mencari penyelesaian ke atas krisis di Myanmar,” menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.