Sunday, 24, November, 2024
Utama Ekonomi RUU Tanggungjawab Fiskal dibentang bulan depan

RUU Tanggungjawab Fiskal dibentang bulan depan

oleh admin

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk menyegerakan pembentangan Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal (FRA) di Parlimen pada bulan depan bagi menambah baik rangka kerja perundangan fiskal negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, FRA mengandungi prinsip pengurusan fiskal yang kukuh dengan memberi penekanan kepada tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam.

“Ia mengandungi prinsip pengurusan fiskal yang kukuh dengan memberi penekanan kepada tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata Akta ini juga akan menekankan kebertanggungjawaban Menteri Kewangan kepada Parlimen dalam melaksanakan tanggungjawabnya menggubal dasar fiskal dan mengurus wang awam.

Anwar hari ini mempengerusikan mesyuarat itu bagi meneliti perkembangan ekonomi negara dan kedudukan fiskal kerajaan terkini serta unjuran fiskal jangka sederhana sebagai persediaan Belanjawan 2024.

Jawatankuasa itu membincangkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar, kedudukan fiskal kerajaan dan rangka kerja fiskal jangka sederhana untuk penyediaan Belanjawan 2024.

Mesyuarat hari ini turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, dan Bank Negara Malaysia.

Jawatankuasa ini memainkan peranan penting dalam merangka strategi, menetapkan hala tuju serta menambah baik tatakelola pengurusan kewangan awam bagi memperkukuh kedudukan kewangan kerajaan jangka sederhana dan panjang.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com