Thursday, 2, May, 2024
Utama Negeri Raja Muda Kedah tauliahkan 1,488 Pegawai Kadet PALAPES

Raja Muda Kedah tauliahkan 1,488 Pegawai Kadet PALAPES

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, berkenan untuk mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) ke-41 di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Sabtu.


Keberangkatan tiba Tengku Sarafudin Badlishah disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohamad Ab Rahman, Panglima-Panglima Perkhidmatan dan Naib Canselor UUM, Kolonel (Kehormat) Profesor Dr. Mohd Foad Sakdan.


Istiadat Perbarisan ini melibatkan 1488 Pegawai Kadet PALAPES terdiri daripada 20 UA seluruh Malaysia yang diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan (PRK) Muhammad Irfan bin Mohamad dari PALAPES Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) di Padang Kawad PALAPES UUM.

Turut diadakan adalah penyampaian Anugerah Pedang Kehormat kepada 37 Pegawai Kadet Terbaik bagi setiap perkhidmatan.


Selesai istiadat perbarisan, Tengku Sarafudin Badlishah turut berkenan mengurniakan watikah tauliah kepada para pegawai yang terdiri daripada 861 Pegawai Muda di dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW), 287 Pegawai Muda di dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan 340 Pegawai Muda di dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM) yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, disusuli dengan bacaan ikrar Taat Setia Perwira.


Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES UA ke-41 merupakan istiadat yang diadakan secara tahunan dan dianjurkan oleh UA di seluruh Malaysia mengikut penggiliran.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com