Monday, 25, November, 2024
Utama Nasional Miskin tegar, subsidi, taraf hidup diutamakan sebelum laksana GST

Miskin tegar, subsidi, taraf hidup diutamakan sebelum laksana GST

oleh Ammar Haziq

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memerlukan masa sesuai untuk melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Beliau dilaporkan berkata, terdapat beberapa perkara perlu dilaksanakan terlebih dahulu iaitu pembasmian miskin tegar, penyelarasan subsidi dan peningkatan taraf hidup masyarakat.

Katanya, jika GST diperkenal terlebih dahulu, ia dikhuatiri menjejaskan golongan kurang berkemampuan.

“GST adalah sistem cukai paling telus dan efisien tapi bila nak dilaksana, bergantung kepada keadaan, sebab bila ada yang hidup miskin tegar, kita kena perkenal polisi cukai progresif polisi broad-based yang akan beri kesan kepada orang miskin.

“Jadi kena bagi sikit masa, tapi adakah kita tak buat apa-apa langsung..tidak, tapi kita kena perluas cukai tapi ia dimulakan dengan mengurangkan subsidi untuk orang kaya, sebab bila kita perkenal rasionalisasi subsidi. Kita tak subsidi semua orang termasuk kaya,” katanya dalam sesi khas Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Institut Milken di Singapura, hari ini.

Pada masa sama, katanya, pelaksanaan semula GST juga perlu mengambil kira isu-isu lain seperti subsidi petrol dan penyeludupan di sempadan.

“Jadi subsidi yang dipraktikkan sekarang perlu dirasionalisasikan untuk ekonomi, kita dapat kurangkan subsidi dan jimat berbilion ringgit.

“Kita perlu mula tingkatkan tatakelola, hentikan ketirisan, korupsi dan bergerak ke depan. Kalau nak kata (pelaksanaan) dalam beberapa tahun akan datang, adalah bila isu miskin tegar dapat ditangani, tingkatkan taraf hidup rakyat, lepas itu baru bergerak ke sistem cukai broad-based,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com