Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Foodgrab UMNO Alor Setar edar 16,799 pek makanan

Foodgrab UMNO Alor Setar edar 16,799 pek makanan

oleh Wartawan Kedah Gazette

ALOR SETAR – Sebanyak 16,799 pek makanan diedarkan kepada wira-wira yang bertugas di barisan hadapan dan masyarakat menerusi program Foodgrab UMNO bahagian Alor Setar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, makanan itu diedarkan kepada kakitangan klinik kesihatan, polis, rela, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Keselamatan Negara dan pelbagai pihak lain.

SYED Mohd. Johan Rizal (kanan) bersama Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Yusof Ismail (dua kanan) menyerahkan bantuan makanan kepada anggota polis di Alor Setar hari ini.

Menurutnya, UMNO bahagian itu akan berterusan membantu petugas di barisan hadapan PKP berakhir.

“Bantuan berkenaan adalah tanda sokongan kepada wira barisan hadapan yang bertugas demi memastikan keselamatan dan kesihatan orang ramai terpelihara.

“Selain itu, program Foodgrab ini juga kita dapat berkongsi bersama membantu di saat memerlukan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.

Syed Mohd. Johan Rizal memberitahu, seramai 1,600 keluarga di sekitar Parlimen ini juga menerima bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan harian.

Jelasnya, bantuan tersebut disalurkan kepada keluarga-keluarga miskin dan terputus bekalan makanan pada sepanjang PKP ini.

“UMNO Alor Setar juga komited untuk terus membantu mereka yang mengalami kesusahan dalam tempoh PKP,” katanya. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com