ALOR SETAR – Pas Kedah merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Datuk Ismail Kamus dan semua mereka terlibat.
“Semoga Allah mengangkat darjatnya. Aamiin,” kata Pesuruhjaya Pas Negeri Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya dalam kenyataan rasminya yang dikeluarkan pagi ini.
Beliau berkata, Pas Kedah menganggap kematian Allahyarham pada malam tadi sebagai kehilangan permata ummah.
Menurutnya, Allahyarham juga seorang ulamak terbilang tanah air yang menjalankan kewajipan sebagai murabbi mendidik anggota masyarakat meninggikan Kalimah Allah SWT hingga ke akhir hayatnya.
“Pemergian Allahyarham amat dirasai oleh segenap anggota masyarakat di seluruh negara nusantara khasnya.
“Allahyarham adalah pendakwah, murabbi, ahli politik Islam dan pengamal perubatan alternatif bahkan pengasas Pusat rawatan Darus Salam,” katanya lagi.
Allahyarham menghambuskan nafas terakhir di kediamannya di Ampang, Kuala Lumpur pada pukul 12.30 malam.
Dalam perjuangan Islam, Ahmad berkata, Allahyarham sanggup menongkah arus demi Islam hingga digam daripada media perdana di waktu berada di puncak kemasyhuran.
Jelasnya, khidmat bakti yang besar sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat memegang Lajnah Kebajikan, Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negara (ADUN) Gombak Setia pada 1999 hingga 2004.
‘Umat Islam hari ini amat perlu menjadikan sisi hebat perjuangan ulamak sebagai suri tauladan bagaimana kesungguhan usaha meningkatkan nama baik agama,” katanya. – KG