Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Hotel Langkawi dapat nafas baru

Hotel Langkawi dapat nafas baru

oleh Wartawan Kedah Gazette
Salah sebuah hotel yang terdapat di Langkawi. – Gambar hiasan

LANGKAWI – Sektor perhotelan di pulau peranginam ini kembali bernafas dengan keputusan kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri bermula 10 Jun ini.

Hotel yang tidak menerima kunjungan pelancong berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak pertengahan Mac lepas berharap langkah itu dapat melonjak kembali perniagaan mereka dan memberi kerja semula kepada ribuan orang.

Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata, sektor pelancongan Langkawi berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membenarkan perjalanan antara negeri.

“Mulai 10 Jun 2020 industri pelancongan Langkawi bernafas semula. Jutaan terima kasih Perdana Menteri yang disayangi,” katanya.

Nawawi Ahmad

Beliau turut menyenaraikan empat faktor yang akan membantu melonjakkan kembali sektor pelancongan Langkawi pasca PKP.

Jelasnya, pertama adalah menarik pelancong tempatan sementara pelancong antarabangsa dalam masa dua tahun dan kedua kemudahan melakukan perjalanan terutama yang berada di kawasan hijau.

“Ketiga beliau menyenaraikan kewangan iaitu kemampuan untuk melancong dan terakhir faktor motivati iaitu faktor penolak dan penarik pelancong ke pulau berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu Astro Awani melaporkan satu sejarah apabila hotel di Langkawi menerima 1,000 tempahan dalam masa sejam iaitu dari jam 4 petang selepas pengumuman kebenaran rentas negeri.

Astro Awani yang memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir menyifatkan perkembangan tersebut sebagai permulaan positif bagi industri pelancongan bangkit semula selepas berbulan mengalami kemerosotan impak pandemik COVID-19.

Malah katanya, LTA juga menyasarkan satu juta pelancong domestik masuk ke Langkawi bermula 10 Jun sehingga 31 Disember nanti.

Tinjauan Kedah Gazette menyaksikan hotel juga menawarkan promosi kadar penginapan yang sangat murah, dengan ada yang menawarkan pakej bilik, sarapan pagi dan sewa kereta pada kadar RM250 bagi dua malam.

Beberapa hotel lima bintang misalnya menawarkan kadar penginapan sekitar RM150-200 semalam, yang sememangnya amat murah. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com