FOTO EHSAN BOMBA
WANITA patah jari kelingking kanan selepas tersepit dalam mesin pengadun tepung di Jalan Putra, Kampung Mergong Tengah, Alor Setar, hari ini.
Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, mangsa, Qhuzaimah Azmi, 37, sedang mengadun tepung menggunakan mesin itu sebelum jari kelingking tersepit.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.52 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ahmad Nozlan Zakaria tiba di lokasi jam 9.02 malam.
“Setibanya di tempat kejadian didapati jari kelingking mangsa masih tersepit di mesin pengadun tepung itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, pasukan bomba mengeluarkan jari mangsa dengan menggunakan peralatan khas.
Beliau berkata, mangsa didapati patah jari kelingking tangan kanan.
“Operasi dilakukan hampir 10 minit untuk mengeluarkan jari mangsa dan dilakukan dengan berhati-hati untuk mengelak kecederaan lebih serius.
“Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan lanjut dan operasi tamat jam 10.06 malam,” katanya. – Metro