FOTO APMM
LANGKAWI- Mayat seorang lelaki ditemui terapung di kedudukan 1.7 batu nautika tenggara Pulau Tuba pada jam 8.10 pagi, hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, sejurus menerima aduan daripada Kepten kapal layar LILI MARLEEN berkenaan penemuan mayat itu, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengaturgerak sebuah bot Maritim Malaysia yang sedang dalam perintah operasi ke lokasi penemuan mayat.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota bot PETIR 81 menemui mayat lelaki dalam keadaan lengkap berpakaian baju T bewarna kelabu dan berseluar jeans pendek kelihatan terapung.
“Berdasarkan kepada pakaian pada mayat tersebut dan laporan yang diterima sebelum ini, dipercayai ia boleh dikaitkan dengan kejadian seorang awak-awak bot nelayan jatuh laut di kedudukan 4.1 batu nautika utara Pulau Payar pada 15 Julai lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setiba mayat dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut Langkawi, mayat yang dikendalikan oleh Pegawai Kesihatan Langkawi telah diserah kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Sultanah Maliha untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian 15 Julai lalu, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya berusia 20-an itu dipercayai terjatuh ketika berada dalam bot pukat tunda bersama seorang tekong dan seorang lagi nelayan.
Mangsa dipercayai baru hari pertama bekerja pada hari dia dilaporkan terjatuh menggantikan nelayan yang bercuti menyebabkan identitinya belum diperolehi.
Zawawi berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam berkaitan kehilangan ahli keluarga.
Oleh itu, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga diminta untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Langkawi di talian 04-9662750.