Saturday, 27, April, 2024
Utama Negeri Pas laksana puasa sunat, solat hajat pulih ancaman COVID-19

Pas laksana puasa sunat, solat hajat pulih ancaman COVID-19

oleh Wartawan Kedah Gazette

ALOR SETAR – Pas di semua peringkat di negeri ini akan melaksanakan puasa sunat Khamis esok dan solat hajat pada sebelah malamnya di kediaman masing-masing bagi memohon agar Allah memulihkan ancaman penyakit pandemik COVID-19.

Ketua Dewan Ulamak Pas Kedah, Syeikh Mohamad Rodi Abdul Rahman berkata, pihaknya
mengajak semua Muslimin dan Muslimat di negara ini khususnya di negeri Kedah agar serentak melaksanakan ibadat tersebut.

Syeikh Mohamad Rodi

“Eloklah kita mulakan dengan solat Maghrib dan hajat, istighfar 100 kali, selawat 100 kali, bacaan Yaasin, berdoa kepada Allah semoga Allah menghilangkan musibah COVID-19 di negara ini.

“Di samping itu juga, muhasabahlah diri masing-masing. Semua ini mungkin terjadi kerana dosa dan maksiat yang kita lakukan.

“Semoga ada doa dalam kalangan kita dimakbul oleh Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Di samping itu, Syeikh Mohamad Rodi menambah, semua lapisan masyarakat disaran agar mematuhi seruan kerajaan untuk bersama- sama berusaha bagi mengekang penularan COVID-19.

“Di kesempatan ini, Pas Kedah juga memberi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada petugas barisan hadapan dalam pelbagai bidang yang telah bertungkus lumus siang dan malam bagi menjayakan usaha murni tersebut,” katanya.

Kerajaan menguatkuasakan beberapa langkah dalam usaha mengekang COVID-19 daripada terus merebak di negara ini termasuk Perintah Kawalan Pergerakan bermula dari 18 sehingga 31 Mac ini yang melibatkan peranan polis dan tentera dalam memastikan kelancaran perintah berkenaan. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com