KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud mengesahkan lelaki Bangladesh dalam buruan, Md Rayhan Kabir telah ditangkap semalam dan akan diusir dari Malaysia.
Menurutnya, nama lelaki tersebut akan disenaraihitamkan dari memasuki negara ini buat selama-lamanya.
“Warganegara Bangladesh ini akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairul berkata, beliau mengucapkan setinggi penghargaan kepada pegawai-pegawainya yang memberikan komitmen memburu Md Rayhan sejak beberapa minggu lalu.
Pada 3 Julai lalu, Al Jazeera menyiarkan dokumentari kontroversi berjudul Locked Up in Malaysia’s Lockdown.
Dalam dokumentari itu, Md Rayhan Kabir mengkritik dan mendakwa wujud diskriminasi kerajaan Malaysia dalam mengendalikan kes Covid-19 melibatkan warga asing.