KUALA NERANG – Polis menahan seorang penganggur pada 18 Ogos lalu di Pekan Kuala Nerang selepas disyaki melakukan pecah premis melibat 17 premis kedai di sekitar daerah Padang Terap dan Pokok Sena sejak Mac lalu
Suspek berusia awal 20-an itu bergerak secara sendirian pada sebelah malam dan mensasarkan premis perniagaan yang tidak berpenghuni bagi memudahkan kerja-kerjanya untuk pecah masuk ke premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superitendan Mulkiaman Manzar berkata, suspek secara lisan mengaku memecah masuk sebanyak 12 premis di daerah Padang Terap dan 5 lagi di daerah Pokok Sena.
“Antara premis-premis yang telah dipecah masuk sekitar Padang Terap dan Pokok Sena adalah kedai makan, mini market, kedai aksesori komputer, pasaraya, stesen minyak dan restoran makanan segera.
“Selepas ditangkap pada 18 Ogos lalu, suspek masih lagi ditahan reman sehingga 31 Ogos di Lokap Balai Polis Kuala Nerang dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,”katanya pada satu sidang di IPD Padang Tera, petang semalam.
Mulkiaman berkata, antara modus operandi yang dilakukan oleh suspek adalah dengan memotong bekalan elektrik dengan menanggal fius pada meter sebelum mengumpil pintu atau tingkap dengan pemutar skru.
“Tujuan dia memutuskan bekalan elektrik adalah memastikan kamera litar tertutup (cctv) tidak berfungsi. Sasarannya adalah premis yang menyimpan wang tunai. Wang hasil curi biasanya digunakan olehnya untuk membeli bekalan dadah jenis syabu.
“Suspek mengaku mendapat habuan antara RM100 hingga RM500 setiap kali melakukan aktiviti tersebut. Suspek juga mengaku akan membakar premis yang dipecah masuk sekiranya tiada apa-apa habuan di premis berkenaan,”katanya. -KG