KODIANG – Seorang bayi berusia lima bulan, Muhammad Haziq Nazm disahkan mempunyai penyakit jantung berlubang selepas dilahirkan termasuk masalah paru-paru dan memerlukan bantuan kewangan bagi menampung rawatannya.
Bapanya, Anorazmi Saad, 37 bekerja kampung manakala ibunya, Nor Hasliza Hashim, 35 sebagai seorang suri rumah perlu berjimat-cermat bagi mengumpul wang untuk menampung kos rawatan anak mereka itu.
Nor Hasliza berkata, anak keempat mereka itu merupakan bayi sindrom down dan perlu membuat rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang dari semasa ke semasa bagi merawat masalah kesihatannya.
Menurutnya, pendapatan bulanan suaminya yang tidak menentu sedikit sebanyak pada setiap bulan memberikan tekanan terutamanya perlu menyewa kereta untuk mendapatkan rawatan anaknya di Pulau Pinang.
“Kami tidak mempunyai kereta dan hanya ada sebuah motosikal lama yang kerap rosak. Semasa mendapatkan rawatan pertama anak pada 22 Julai lalu, kami terpaksa memperuntukkan kira-kira RM500 untuk kos sewa kereta, minyak, tol dan makanan.
“Dengan pendapatan suami yang tidak sampai RM1,000 sebulan, memang kami terpaksa berjimat-cermat dan anak-anak menjadi keutamaan,”katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Keda Wang, Padang Sera selepas menerima sumbangan yang disampaikan oleh Pengerusi Cancer Survivors Malaysia, Zuraini Kamal.
Nor Hasliza berkata, Muhammad Haziq Nazmi juga selalu mengalami masalah penat sehingga mukanya akan menjadi biru jika tidak ditenangkan sekiranya dia menangis.
“Anak saya ini perlu diberikan susu melalui tiub setiap tiga jam mengikut sukatan yang telah ditetapkan oleh doktor. Memang masa dan perhatian perlu sentiasa diberikan kepadanya,”katanya.
Menurutnya, anaknya itu mempunyai temu janji seterusnya pada 14 Oktober ini untuk melihat secara keseluruhan keadaan kesihatan di Hospital Pulau Pinang dan masalah pengangkutan dan kewangan terus menghimpit mereka.
“Muhammad Haziq Nazmi baru sahaja terima bantuan zakat sebanyak RM300 pada bulan lepas dan boleh digunakan untuk membeli keperluan seperti susunya.
“Kami tengah fikir bagaimana pula untuk pengangkutan dan kos ke sana. Jika ada sesiapa yang sudi membantu memang akan dapat meringankan beban kami nanti,”katanya.
Tambahnya, anak sulungnya berusia 13 tahun juga adalah seorang kurang upaya masalah pembelajaran dan dua lagi anaknya berusia tujuh dan tiga tahun.
Bagi sesiapa atau pihak yang mahu meringankan beban keluarga tersebut boleh hubungi Nor Hasliza di talian 012 4504134 atau menyalurkan sumbangan di akaun BSN 0299541100367877 (Nor Hasliza Hashim).