Thursday, 12, December, 2024
Utama Negeri Kulit king cobra ‘ganggu’ kemeriahan Aidilfitri

Kulit king cobra ‘ganggu’ kemeriahan Aidilfitri

oleh Ammar Haziq

SIK – Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik menemukan kulit ‘king cobra’ pada pendingin hawa sebuah rumah di Kampung Kota Aur, dekat sini pada petang Rabu.

Kemeriahan Aidilfitri sebuah keluarga pada awalnya terganggu selepas mendengar bunyi kuat dari dalam pendingin hawa menyebabkan seorang daripada ahli keluarga terbabit cemas dan menghubungi pasukan bomba untuk bantuan.

Menurut Ketua BBP Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 7 petang sebelum menghantar sepasukan tujuh anggota ke lokasi.

“Pasukan diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Soffuan Sabry selepas tiba di lokasi kemudiannya membuat pemeriksaan hampir 15 minit, pasukan operasi hanya menemui sarung kulit ular dalam pendingin hawa tersebut.

“Pemeriksaan menyeluruh dilakukan anggota bomba di segenap ruang rumah untuk mencari ular, tetapi didapati sudah tiada,” katanya di sini pada Khamis.

Zulkhairi berkata, selepas memeriksa hampir 15 minit, pasukan operasi mendapati hanya sarung kulit ular dalam pendingin hawa berkenaan.

“Berdasarkan sarung kulit ular berkenaan, dipercayai ular tedung senduk,” katanya lagi.

Tambahnya, orang ramai dinasihti agar berhati-hati dengan persekitaran susulan cuaca panas kerana reptilia berbisa itu akan berteduh di tempat lembab dan sejuk.

“Orang ramai perlu sentiasa jaga kebersihan kawasan rumah, peka dengan kawasan persekitaran ketika musim perayaan ini. Hubungi balai bomba berdekatan atau 999 jika ada sebarang kecemasan untuk bantuan,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com