KUALA NERANG – Seorang bayi lelaki berusia tiga tahun perlu diberikan perhatian khusus oleh ibu bapanya selepas dilahirkan menghidap penyakit hati berada di luar (extracorporeal liver).
Bapanya, Sanudin Ibrahim, 46 yang bekerja menoreh getah dengan pendapatan sekitar RM600 sebulan berkata, Muhammad Ammar dilahirkan tidak cukup bulan selain turut menghidap penyakit jantung berlubang.
“Anak kelima saya ini dibenarkan pulang pada 29 September lalu selepas ditahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar selepas dilahirkan secara pembedahan untuk pemantauan oleh doktor.
“Keadaan di rumah ini agak panas apabila menjelang waktu tengahari dan Muhammad Amar akan menangis kerana rasa tidak selesa. Selepas dilahirkan dia terus berada di HSB dan keadaan suhu sejuk kerana ada pendingin hawa. Mungkin bila balik ke rumah ini dia agak tidak selesa bila waktu tengahari kerana rumah ini tidak ada pendingin hawa,”katanya.
Sanudin berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengerusi Sahabat Charity Balqis (SCB) Rukiza Abu Bakar yang hadir menghulurkan bantuan wang tunai dan barang keperluan makanan lain serta lampin pakai buang di rumahnya di Kampung Perik, Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah.
Sementara itu, isterinya, Norliza Mohd Saad, 35 berkata, perhatian khusus perlu diberikan kepada anaknya itu terutamanya dalam mencuci bahagian hati agar sentiasa kering.
Menurutnya, Muhammad Ammar akan dirujuk ke HSB pada 26 Oktober ini untuk diperiksa oleh doktor pakar dan berkenaan pembedahan untuk memasukkan hati ke dalam badannya masih belum dimaklumkan oleh doktor.
“Kami perlu berjimat cermat untuk memperuntukkan kos untuk ulang-aling ke HSB pada setiap bulan selepas ini untuk berjumpa dengan doktor-doktor pakar. Kami harap agar ada bantuan untuk meringankan sedikit beban ini,”katanya.
Norliza yang turut menghidap kencing manis sejak tujuh tahun lalu juga perlu disuntik insulin pada setiap hari dan dilakukan sendiri olehnya.
Tambahnya, anak ketiga mereka, Amni Qaisara, 3 tahun turut menghidap penyakit jantung berlubang dan merupakan penerima bantuan zakat bulanan sebanyak RM200 perlu dirujuk ke Hospital Pulau Pinang setiap tahun manakala di HSB pula setiap 6 bulan.
“Wang yang ada selalu tidak cukup dan kami cuba berjimat. Agak lega sedikit kerana adik-beradik ada juga yang bantu walaupun mereka juga mempunyai komitmen dengan keluarga masing-masing,”katanya.
Mana-mana pihak yang mahu membantu adik Muhammad Ammar boleh hubungi keluarga tersebut di talian 014-9421670 atau menyalurkan bantuan ke Bank Islam 02-039-02-487174-9 (Norliza Mohd Saad).