Friday, 3, May, 2024
Utama Sukan KAKB sudah ada RM15 juta untuk beli saham pasukan Kedah

KAKB sudah ada RM15 juta untuk beli saham pasukan Kedah

oleh Ammar Haziq

Kenyataan Media

CADANGAN PEMILIKAN SAHAM PENYOKONG DARULAMAN FCKoperasi Anak Kedah Berhad (KAKB) merupakan sebuah entiti koperasi berdaftar secara sah dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Sejak Julai 2020, KAKB telah secara jelas menyatakan hasrat meghimpunkan penyokong-penyokong Hijau Kuning bagi memiliki saham majoriti dalam Darulaman FC.

Sepanjang tempoh tersebut, KAKB telah menemui pelbagai pihak , pemegang taruh dalam industri bolasepak Malaysia dan Kedah bagi menjelaskan idea dan perancangan kami memperkenalkan konsep Pemilikan Penyokong (“Fan Based Club”).

Konsep ini bukan lagi asing di luar negara dan telah menyaksikan kejayaan banyak kelab-kelab ternama dari sudut memperkukuh kewangan dan mutu permainan. Contohnya FC Barcelona, Juventus FC, Yokohama FC dan banyak lagi.

Pihak KAKB juga turut berbincang secara bersemuka dengan pihak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebanyak 4 kali yang merupakan pemegang saham tunggal Darulaman FC. Ia bertujuan mengemukakan syor kami terutamanya tentang soal perancangan kewangan masa depan dan isu tunggakan hutang pemain-pemain.

Pada 9 Oktober 2020, KAKB telah menghantar secara rasmi Ringkasan Terma bagi memulakan perbincangan rasmi mengenai perkara-perkara utama untuk diteliti termasuklah butiran hutang dan kaedah penilaian pasukan bagi menentuksahkan nilai pelaburan sebenar bagi Darulaman FC.

Meskipun kami masih belum menerima sebarang respon mengenai Ringkasan Terma tersebut, kami yakin pihak KFA sedang berusaha meneliti cadangan tersebut demi masa depan bolasepak Hijau Kuning.

Alhamdulillah pada 19 Oktober 2020, saya selaku Penasihat KAKB, berpeluang bercakap terus dengan YAB Menteri Besar merangkap Presiden KFA bagi merungkai isu status kewangan KAKB.

Dalam perbualan telefon tersebut, saya telah menyatakan bahawa komitmen pelaburan melalui KAKB yang sedia ada sekarang berjumlah RM15 juta.

Ia belum lagi ditambah dengan beberapa penaja berpotensi lain yang menunjukkan minat menaja melalui koperasi.

Kami sedar bahawa cadangan yang baharu tidak mudah untuk difahami apatah lagi dilaksanakan. Ia menuntut iltizam dan kebijaksanaan dari pihak berkuasa dalam melihat gambaran lebih besar tentang aspek penswastaan iaitu pulangan terhadap perbelanjaan ekonomi negeri.

Pihak KAKB berharap pihak KFA masih membuka ruang perbincangan kepada kami dan tidak terburu-buru membuat keputusan. Bagi penyokong-penyokong Hijau Kuning, ini adalah permulaan bagi perjuangan ke arah pemilikan saham penyokong. Kita mahu ia tercetus di Kedah dan merebak ke seantero Malaya.

OLEH,
Ahmad Shaizuan bin Kamaruzzaman
Penasihat

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com