Saturday, 4, May, 2024
Utama Negeri Ribuan penduduk menanti jenazah Muhamad Hafiz

Ribuan penduduk menanti jenazah Muhamad Hafiz

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI – Suasana sayu di perkarangan Tanah Perkuburan Masjid Al Huda Kampung Jerong, dekat sini apabila orang ramai termasuk kenalan dan saudara mara penghantar makanan, Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, menanti jenazahnya tiba sejak jam 12 tengah hari tadi.

Jiran Allahyarham di Taman Sidam Kiri, Mohd Nazri Jamaludin, 49, berkata penduduk termasuk anak kariah masjid mula bergotong royong menggali liang dan menyediakan makanan sejak awal pagi .

“Di sini ada khairat kematian, jadi selepas dimaklumkan jenazah akan dibawa balik, kami bahagi tugas masing-masing, kubur mula dikorek kira-kira jam 9 pagi tadi menggunakan jengkaut dan mengambil masa kira-kira sejam.

“Khemah pun sudah dipasang, Alhamdulillah semuannya berjalan dengan baik,” katanya ketika ditemui di sini.

Pesara tentera ini menyifatkan Allahyarham seorang yang berwatakan tenang dan mudah didekati.

Sementara itu menurut saudara Allahyarham, Badli Mohd Razali, 41, bersyukur kerana urusan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) berakhir dengan cepat.

Dia yang juga penunggang p-hailing tiba awal ke masjid bagi mengiringi jenazah ke tanah perkuburan Masjid Al Huda, Kampung Jerung, di sini.

Terdahulu jenazah sudah dibawa pulang Jabatan Forensik HTAR kira-kira jam 10 pagi tadi dan dijangka tiba di tanah perkuburan selepas Zohor.

Kelmarin, 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) nombor pendaftaran N28JV.

Mangsa terdiri daripada lapan penumpang dan kru pesawat, selain dua orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di lokasi nahas.

Turut terbabit dalam nahas, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com