FOTO/TEKS MAQIS
BUKIT KAYU HITAM – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk keratan ayam sejuk beku yang tidak mematuhi syarat import dari Thailand di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Menurut Pengarah MAQIS Negeri Kedah, Lily Rosalind Paul berkata, hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan oleh Pegawai MAQIS, mendapati sebanyak 2,600 kotak keratan ayam sejuk beku yang disusun ke dalam kontena tersebut adalah dianggarkan bernilai RM 187,210.03 dan ditahan untuk tindakan lanjut.
Katanya lagi, kesemua ayam sejuk beku itu tidak mematuhi syarat import kerana dipercayai dari pusat penyembelihan yang tidak diiktiraf dan meragukan.
Kegagalan untuk mengemukakan maklumat tersebut adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama.
Pihak MAQIS sangat komited dalam memastikan isu-isu yang melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak dan tidak akan leka serta memandang mudah terhadap perkara ini dalam memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih, mikroorganisma dan makanan yang diimport bebas daripada ancaman perosak, penyakit, bahan cemar.