FOTO/TEKS MFL
PETALING JAYA – Malaysian Football League (MFL) menerusi kerjasama bersama Ingres Technologies Sdn Bhd (Ingres), sebuah syarikat teknologi maklumat terkemuka yang khusus dalam pembangunan perisian, sistem integrasi dan infrastruktur telekomunikasi bakal memperkenalkan aplikasi bola sepak negara iaitu Shoot!
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, pengelola Liga Malaysia itu mengalu-alukan kedatangan Ingres yang mengikat perjanjian selama lima tahun bermula 2021 dengan syarikat berkenaan akan bertindak sebagai pembangun aplikasi itu.
Jelas Dato’ Ab Ghani, beliau percaya aplikasi Shoot! bakal menjadi satu nafas baharu kepada Liga Malaysia seiring peredaran teknologi masa kini yang menuntut maklumat dan kandungan-kandungan digital di hujung jari.
“Aplikasi ini bakal menawarkan segala berita, info dan kandungan bola sepak Malaysia dalam satu aplikasi Katanya lagi, beliau optimis bahawa perkhabaran ini akan mengembirakan penyokong-penyokong tanah air yang bakal menikmati kandungan serta informasi yang bukan hanya mengenai Liga Malaysia malah melibatkan perkembangan bola sepak tanah air termasuk pasukan kebangsaan.
“MFL dengan kerjasama Ingres mahu memastikan setiap peminat dapat mengikuti perkembangan terkini di mana teknologi yang ditawarkan oleh aplikasi ini membolehkan semua penyokong mendapat maklumat bukan sahaja pasukan Liga Malaysia, malah termasuk e-MFL, pasukan kebangsaan lelaki mahupun wanita, pasukan bola sepak pantai, futsal serta pertandingan anjuran FAM.
“Menerusi aplikasi Shoot! ini juga, peminat boleh mengesahkan pasukan kegemaran masing-masing di mana mereka akan ditawarkan segala informasi berkenaan pasukan yang diikuti itu selain mendapat statistik perlawanan secara langsung, ‘e-commerce’ yang bakal diperkenalkan di masa hadapan dan lain-lain lagi.
“Dengan platform ini juga, hubungan penyokong dan pasukan akan terasa lebih dekat dengan kelab kesayangan mereka di mana peminat turut akan diberikan ganjaran apabila setiap kali mereka menggunakan aplikasi Shoot!.
“Harapan MFL dengan kerjasama Ingres adalah mahu lebih mendekati dan memahami penyokong bola sepak tempatan dan memberikan kandungan serta informasi terbaik kepada mereka menerusi aplikasi ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
Majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara MFL dan Ingres berlangsung hari ini dengan MFL diwakili Dato’ Ab Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Ingres, Dato’ Emil Rinaldi Sjaiful sambil disaksikan oleh Presiden MFL Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin serta Pengarah Eksekutif Ingres, Faris Lodin.
Menurut Dato’ Emil Rinaldi Sjaiful, beliau percaya ekosistem digital memainkan peranan yang amat penting sekali untuk memahami sikap penyokong bola sepak negara secara terperinci.
Tambahnya, penerapan data dalam organisasi adalah kunci bagi meningkatkan daya saing di zaman digitalisasi yang kian berkembang.
“Ingres dengan kerjasama MFL komited dalam menerajukan aplikasi bola sepak negara ini, pelbagai info dan kandungan yang unik dan eksklusif akan dipaparkan bagi memenuhi kehendak peminatpeminat yang bukan sahaja terhad kepada aksi bola sepak tetapi juga merangkumi elemen-elemen yang lebih menghiburkan serta “fan engagement” yang luar biasa.
“Saya harap aplikasi ini bukan sahaja menjadi pelengkap kepada pengalaman penyokong yang menonton bola sepak tanah air, malah membantu ekosistem bola sepak secara holistik untuk terus berkembang dengan teknologi yang lebih canggih.”
Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani menegaskan aplikasi Shoot! turut dapat membantu kelab-kelab Liga Malaysia menjana pendapatan baharu selain daripada penaja, tiket atau cenderahati.
“Perkongsian hasil pendapatan dengan kelab ini akan menyaksikan aplikasi ini akan membantu pasukan Liga Malaysia menjana pendapatan di mana ini antara salah satu saluran membantu kelab ketika kami mengembangkan lagi potensi aplikasi ini di masa akan datang,” ujarnya.
Prapelancaran aplikasi Shoot! bakal diadakan pada hujung bulan ini di mana penyokong bola sepak tempatan berpeluang menerokai aplikasi Shoot! dengan memuat turun pada semua operasi sistem telefon pintar bermula dengan Android pada bulan hadapan.