KISAH PENSWASTAAN KEDAH FC: SISI SAYA
- Saya bukan orang politik. Saya tidak bermusuh dengan mana-mana ahli politik. Saya harap penjelasan saya di sini tidak dibaca secara politik kerana niat mengambil alih Kedah FC memang tiada kaitan langsung dengan politik.
- Saya orang berniaga, dah hampir 20 tahun saya berniaga, saya juga penyokong tegar bolasepak Kedah (dan Arsenal) dan anak jati Kedah. Sebab itu, sejak dihebahkan bahawa semua kelab bolasepak di Malaysia wajib diswastakan, saya dan rakan-rakan terpanggil untuk berbakti kepada tanah kelahiran kami memandangkan semua tahu bolasepak Kedah sedang “struggle”.
- Sebelum ini kumpulan kami cuba memperjuangkan konsep “Fan Based Club” Koperasi Anak Kedah Berhad. Namun ia tidak kesampaian atas tanggapan koperasi masih baru dan tiada kewangan kukuh.
- Tanpa putus asa, saya dan rakan-rakan berusaha lagi, kali ini menggunakan platform syarikat persendirian iaitu Flumen Holdings dan Go Auto.
- Flumen Holdings adalah syarikat saya sepenuhnya yang sudah lama menjalankan perniagaan pelbagai cabang bisnes termasuklah menjadi pembekal peralatan ketenteraan. Manakala Go Auto adalah syarikat automatif yang juga mempunyai sejarah bisnes yang panjang.
- Alhamdulillah kali kali perbincangan dengan MBI dan KFA jauh lebih mudah memandangkan musim baru akan bermula dan masih tiada pelabur yang berminat. Saya difahamkan juga memang kerajaan negeri sudah tidak mampu lagi tanggung “belanja sakan” bolasepak. Ini semuanya duit rakyat.
- Kedua-dua buah syarikat telah membuat pembentangan kepada exco kerajaan negeri yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Menteri Besar. Beliau sendiri maklum tentang permohonan tanah bagi mendirikan kilang automotif di atas sebidang tanah milik PKNK berkeluasan 300 ekar di kawasan Sungai Petani sebagai sebahagian daripada pakej pengambilalihan Kedah FC di mana kombinasi bisnes bola dan bukan bola akan membolehkan bolasepak Kedah “survive” untuk jangka panjang. Inilah sebenarnya matlamat kenapa kami minta tanah.
- Semasa itu YAB MB yang beria-ria menyokong permohonan ini diluluskan oleh Exco dan meminta kami derafkan kenyataan media pihak kami untuk diumumkan YAB Menteri pada hari yang sama sebab mereka pun tahu lebih cepat projek ini berjalan, lebih baik untuk negeri dan rakyat. Lebih penting lagi, untuk survival bolasepak Kedah.
- Dalam setiap siri perbincangan, kami sentiasa terbuka untuk menunjukkan kemampuan kewangan dan kebolehan kami menjayakan projek ini bagi mendapatkan kepercayaan semua pihak kerana kami dapati pihak seperti PKNK, exco pelaburan negeri dan rakan-rakan pelabur kami juga sentiasa meneliti setiap cadangan dengan profesional dan komited.
- Ini menunjukkan semua pihak sedar betapa besar dan pentingnya projek ini kos kasarnya sahaja boleh menjangkau RM240 juta selama 10 tahun di mana impak pelaburan sebesar ini sudah tentulah boleh mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, peluang perniagaan baru dan lebih penting memantapkan bolasepak Kedah. Sebab itu, semua pihak perlu berjiwa besar bagi memastikan penswastaan Kedah FC berjaya untuk jangka panjang. Bayangkan jika semua orang hanya ingin lihat untung jangka pendek adakah sesiapa yang sanggup buat kerja gila melabur dalam bolasepak di tengah-tengah Pandemik Covid 19?
- Di pihak kami, kami meneruskan projek ini kerana bersangka baik dengan kerajaan negeri khususnya YAB MB atas keyakinan kita semua memang mahu tengok bolasepak hijau kuning maju ke depan. Sayangnya apa yang dirancang ada pihak yang mensabotaj.
Minta Tanah Negeri?
- Ya betul kami minta tanah tapi bukan percuma dan bukan murah-murah. Orang putih kata there is no free lunch. Dari awal, kami nyatakan kepada wakil MB kami bersedia bincang harga, lokasi dan cara bayar. Rundingan secara telus dan profesional dengan pihak MBI dan PKNK sejak Januari lagi dan segalanya berjalan lancar dengan restu YAB Menteri Besar khususnya dengan kerjasama Ketua Setiausaha Sulit YAB Menteri Besar Dato Armishah Siraj. Manakala bagi setiap urusan melibatkan bolasepak dan KFA, saya berhubung terus dengan Haji Zulkifli Haron atas kapasitinya sebagai CEO KFA.
- Sehingga pengumuman semalam, tiada langsung teguran atau rungutan dari pihak PKNK atau exco pelaburan YB Dato’ Wira Ku Rahman bahawa permohonan tanah ini tidak munasabah dan membalun tanah negeri kerana mereka sendiri faham bahawa ianya melibatkan pembayaran harga munasabah, membawa masuk pelaburan baru, mencipta ribuan peluang pekerjaan. Malahan, termasuk dalam rundingan, cadangan pembinaan stadium dan fasiliti sukan baharu yang sudah tentulah akan memanfaatkan negeri dan rakyat Kedah.
- Justeru, saya terkejut dengan kenyataan YAB MB dalam sidang media semalam yang mengelirukan dan tidak memberi gambaran sebenar betapa telus rundingan ini dan tidak sesekali membelakangkan undang-undang. Kami mohon tanah untuk dibangunkan untuk rakyat Kedah bukan untuk tanam durian Musang King atau gali hasil nadir bumi (tanpa memotong pokok).
Stadium Pun Depa Nak?
- Ini satu lagi kenyataan yang mengelirukan umum dan mencalarkan imej syarikat dan saya secara peribadi, kerana seolah-olah stadium pun kami nak balun. Sebenarnya antara permohonan kami juga adalah pihak YAB MB mempertimbangkan untuk memberi konsesi hak menguruskan stadium di Suka Menanti yang kini menjadi padang latihan pasukan.
16.Semua orang tahu fasiliti di situ tempat tersebut amat daif dan terbiar di mana walaupun terdapat fasiliti seperti asrama, dewan makan, ruang pejabat, penyelenggaraan ya amat mendukacitakan. Sedangkan sepatutnya stadium tersebut berpotensi untuk menjana pendapatan kepada kelab. Kos baik pulih keseluruhan tempat tersebut dianggarkan menelan lebih RM3.4 juta dan sudah masuk sebahagian dari perancangan kami untuk membaikpulih stadium tersebut sekiranya mendapat hak konsesi pengurusan.
- Tanpa penglibatan pihak swasta, kerajaan negerilah yang akan menanggung semua bil-bil nya dan sudah pun jelas kerajaan perlu mengutamakan kebajikan rakyat terlebih dahulu. Benarlah isu ini perlu dibincangkan bersama dengan Perbadanan Stadium Negeri yang menyelenggara dan mengurus tetapi bukankah YAB Menteri Besar adalah pengerusinya? Kami bukan hendak ambil terus secara percuma, yang kami cadangkan adalah *diuruskan oleh pihak syarikat dan keuntungan dikongsi bersama dengan Perbadanan Stadium. Malangnya kami tidak pasti samada cadangan ini telah dilihat secara teliti atau tidak tiba-tiba sahaja kami hanya tahu melalui sidang media semalam betapa “murkanya” YAB MB dengan cadangan ini tanpa diberi peluang bersemuka menjelaskan cadangan kami ini.
Nak Guna Stadium Darulaman Secara Percuma?
- Kami mohon dikecualikan bayaran sewaan stadium yang begitu tinggi untuk tahun pertama sahaja supaya aliran tunai kelab positif sepanjang tahun pertama. Ini disebabkan jadual liga Malaysia amat menakutkan semua pemilik kelab. Jika cadangan ini tidak dipersetujui, kami bersedia untuk mempertimbangkan pilihan-pilihan lain. Malangnya sekali lagi sidang media YAB Menteri Besar semalam dengan semberono menuduh kami meminta Stadium Darulaman.
Minta Bayar Gaji Pemain Pun Depa Tak Mampu?
- Dituduh syarikat saya enggan bayar gaji dari Disember 2020 hingga Februari 2021?Atas dasar apa saya patut bayar jika perjanjian belum dimuktamad dan saya telah beri komitmen untuk masuk secara rasmi pada Mac 2021 serentak dengan permulaan liga Super 2021. Itupun saya telah beri komitmen untuk bayar semula segala perbelanjaan nanti dengan proses audit yang lebih jelas. Islam pun menuntut kita supaya membuat perjanjian bertulis bagi mengelak fitnah dan persengkataan? Lagipun ada kah orang yang akan bayar berjuta-juta begitu saja tanpa ada hitam putih?
- Sebagai orang berniaga, sudah menjadi asam garam jika ada orang hendak serang saya atau syarikat saya. Saya bukan orang politik dan saya tidak reti main politik. Bagi menutup penjelasan ini saya hendak tegaskan bahawa permohonan memajukan tanah dan hak menguruskan stadium hanyalah sebahagian dari pakej dan terma rundingan semata-mata supaya kelab bolasepak Kedah FC dapat menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada GLC negeri untuk jangka panjang. Saya juga teruja sekitar pada Julai tahun lalu yg mana YAB MB bertekad tidak akan menggunakan wang negeri untuk bolasepak kerana wang negeri hanya untuk rakyat negeri Kedah dan diatas dasar itu kami mencari ikhtiar agar kami tidak akan menggunakan wang negeri demi nak menjaga org miskin, ibu tunggal dan anak yatim di negeri Kedah.
- Jika pemintaan ini dianggap terlalu besar, saya ucapkan selamat berjaya kepada sesiapa saja selepas ini yang mengendalikan kelab bolasepak Kedah.
- Saya juga terkilan dan kesal surat rundingan oleh pihak syarikat dengan minit YAB Menteri Besar yang sepatunya SULIT telah ditular oleh pihak tidak bertanggungjawab. Sudah tentulah kebocoran ini dari orang dalam sendiri yang tidak senang urusan ini dimuktamadkan. Perilaku membocorkan surat-surat urusan rasmi dengan minit YAB Menteri Besar adalah sesuatu yang menyalahi undang-undang dan tidak boleh dikompromi. Ia memberi gambaran bahawa rundingan dengan pihak YAB MB tiada lagi kerahsiaan dan boleh dibocorkan kepada umum. Ini boleh berlaku kepada sesiapa saja yang berurusan dengan pejabat MB.
Buat penyokong Kedah, hanyalah jutaan kemaafan yang boleh saya pohonkan. Selagi nyawa dikandung badan darah Hijau Kuning akan terus mengalir dlm badan saya dan nawaitu saya hanya satu..ingin berbakti kpd negeri Kedah Tercinta melalui REVOLUSI BOLASEPAK. Jika ada di masa depan ada lagi ANAK KEDAH yang ingin mencuba nasib, mudah-mudahan dijauhkan daripada jembalang yang akan membunuh semangat dan jiwanya!
Adios Kedah FC!
Shaizuan @ Abang Juan
Flumen Holdings Sdn Bhd