Sintok: Kedudukan UUM terus melonjak naik apabila tiga subjek telah menunjukkan peningkatan dalam QS World University Rankings (QSWUR) by Subject 2021 berbanding tahun sebelumnya.
Subjek tersebut ialah Accounting and Finance dari 251-300 ke 201-250; Business and Management Studies dari 251-300 ke 201-250 dan Economics and Econometrics dari 351-400 ke 301-350.
Turut meningkat ialah subjek utama, Social Science and Management dari 401-450 ke tangga 340, manakala 1 subjek lagi telah disenaraikan iaitu Computer Science and Information System di tangga 601-650.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, beliau berasa gembira di atas pencapaian UUM dalam QS World University Rankings by Subject yang meningkat dari tahun demi tahun itu.
Menurutnya, ini adalah satu pencapaian yang hebat hasil kerja keras semua warga universiti untuk memartabatkan UUM dan ia juga merupakan hasil Pelan Strategik UUM yang telah memasuki Fasa 3 (2021-2025).
“Saya berharap momentum ini akan dapat dikekal dan dipertingkatkan lagi pada masa akan datang agar UUM terus gah di persada antarabangsa, seiring dengan cogan kata ‘We Are Global’,” katanya.
Pada tahun ini sebanyak 1,453 institusi seluruh dunia berjaya menduduki ranking secara keseluruhannya dengan sebanyak 81 juta sitasi (citation) diterbitkan.
Dalam edisi terbaru ini, sebanyak 51 subjek disenaraikan dan dikelompokkan dalam lima bidang utama iaitu Art and Humanities; Life Science and Medicine; Natural Science; Social Science and Management serta Engineering and Technology.